Mengharap Secebis Kasih-Nya

Istiqamah di Atas Manhaj Nabi SAW dan Sahabat r.hum

Realiti Masyarakat Yang Sebenar


Alhamdulillah semester ke2 sesi 09/10 baru seminggu lebih menerjah dalam hidupku sebagai pelajar dan juga sebagai seorang suami. Di awal semester ini, saya dan isteri agak kesibukan sikit daripada kebiasaan kerana memikir dan mengurus masa yang agak ketat dengan pelajaran dan part time working. Subjek-subjek yang saya ambil sem ini agak selesa sedikit, tiada lagi subjek-subjek killer(harapnya). Cumanya, subjek yang menjadi tujuan saya yang terakhir sebagai pelajar kejuruteraan sedang saya ambil iaitu project. Dan subjek ummu Muawiyah pulak nampaknya boleh tahan jugak. Katanya, ramai kawan-kawan agak ketakutan dengan satu subjek agak susah,Quranic & Prophetic Text. Mereka cakap kalau nahu soraf serta balaghah tak kuat, susah nak score. Entahlah, bagiku macam menarik je J. Takpelah, wait and see je la.

Apa yang saya nak celotehkan pada kali ini adalah berkenaan dengan masalah yang berlaku pada masyarakat. Ini adalah sebahagian daripada pengalaman saya dan ummu Muawiyah lalui sejak buat kerja part time sebagai guru Quran dan matematik. Biasanya saya mengambil bahagian bacaan Quran serta tajwid sementara isteri bahagian Qiraati atau permulaan bacaan Quran. ada juga mengajar matematik pada anak seseorang. Alhamdulillah rezeki datang selepas kahwin. Rezeki masing-masing. Kita buat kerja yang mampu kita buat sahaja.

Ada seorang lelaki menelefonku meminta mengajar anak-anaknya membaca al-Quran. saya cakap ok je kalau ada kesempatan. Kalau boleh,sepanjang cuti sekolah ini dia nak mintak mengajar hari-hari di kedai fotostatnya(sape2 nak minta fotostat,bolehla-3sen/ms). Ada 3 orang murid semuanya, 2 daripadanya adalah anak lelaki itu. Maka saya pun mengajarlah apa yang patut termasuk memberikan sedikit tazkirah diakhir kelas.

Biasanya untuk kelas awal-awal,saya akan tekan bab aqidah terlebih dahulu kerana dengan aqidahlah kita akan selamat dunia akhirat. Ada juga diceritakan mengenai bahaya syirik dan bida’ah. Nampaknya mereka agak tertarik dengan isinya,penyampaian biasa sahaja. Ada saja mereka tertanya-tanya mengenai masalah yang melanda mereka.

Selepas itu,untuk hari seterusnya saya berhajat untuk memperkemaskan solat mereka pulak mengikut apa yang diajar oleh Nabi SAW. Tapi saya akan cuba campur adukkan apa yang boleh dimaafkan. Saya daripada awal cuba tekankan akan kepentingan mengikut apa yang telah diajarkan oleh Nabi SAW bukannya hanya ikut-ikut saja. Memang tak sampai tahap mereka, tapi sekurang-kurangnya tingkatkan pengetahuan sebanyaknya. Lepas itu saya cuba juga bertanya soal solat, apakah ianya sudah beres. Oh, alangkah terkejut(tapi buat-buat tak terkejut) bilamana mereka bertiga kata “hari ni tak solat lagi”. Kali terakhir solat masa tengah exam hari tu(ada sorang yang ambil SPM). Asalnya nak ajar mengenai solat yang sempurna, tapi saya batalkan kerana saya terus bagi peringatan mengenai kepentingan solat dan ancaman meninggalkannya.

Begitulah realiti masayrakat kita yang sudah jadi kebiasaan meninggalkan solat,tapi mujurlah masih nak belajar. Saya pun minta daripada abang tu untuk mengajar anak-anaknya tentang bersolat mengikut sunnah yang semampunya. Saya katakan pada mereka,puasa itu wajib dan haram meninggalkan, belajar baca al-Quran itu wajib tapi mengerjakan solat adalah lebih wajib daripada semua itu. Saya meminta mereka bersolat je dulu dengan apa ilmu yang ada. Terus saya pergi cari buku ustaz Zaharuddin “Formula Solat Yang Sempurna” terbitan Telaga Biru sdn bhd.

Jangan sesekali meninggalkan walau dalam apa keadaan sekalipun. Salah silap nanti kita akan belajar jugak. Allah Maha Tahu apa niat kita. Jangan kita susahkan diri sendiri sampai susah nak solat. Saya ada juga beritahu bahawa senang saja mengerjakan solat. Islam itu amat mudah dan praktikal tapi jangan memudahkan sesuka hati. Dan saya ada bagi pesanan, “solat ni,nak taknak kena buat juga,lebih baik kita menyesal sekarang daripada sesal bila tua”. Akhirnya ke negeri sana juga kita akan pulang.


134. Sesungguhnya apa Yang dijanjikan kepada kamu (hari kiamat dan balasannya) tetap akan datang, dan kamu tidak akan dapat melepaskan diri (dari balasan itu).

(surah al-An’am)

7. dan Bahawa Sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang, tidak ada sebarang syak padanya, dan Bahawa Sesungguhnya Allah akan membangkitkan (menghidupkan semula) orang-orang Yang di Dalam kubur.

(surah al-Hajj)


read more "Realiti Masyarakat Yang Sebenar"

Aktiviti Cuti Sekolah yg Bermanfaat


Jom datang beramai2!!!
read more "Aktiviti Cuti Sekolah yg Bermanfaat"

Bukan Islam Memasuki Masjid : Penjelasan

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net


nabawimosque.jpg

Soalan

Ustaz, di ketika ini agak heboh perbincangan berkenaan boleh atau tidak orang bukan Islam masuk masjid dan meberi ucapan. Saya ingin bertanya kepada ustaz tentang hal ini, adakah perbincangan ulama di dalam hal ini atau memang tidak dibenarkan? Setahu saya, mazhab Syafie membenarkan jadi adakah pandangan yang melarang ini adalah pandangan pengikut Wahabi?.

Jawapan

Saya yakin, isu ini timbul akibat dari berita seperti ini.

Sebelum menjawab persoalan yang diutarakan oleh saudara penyoal, saya ingin terlebih dahulu menjelaskan, paling kurang terdapat tiga isu yang diperbincangkan oleh ulama Islam di dalam hal ini.

Pertama : Bukan Islam memasuki Masjidil Haram.

Kedua : Sebab mengapa bukan Islam dilarang memasuki masjidil haram.

Ketiga: Bukan Islam memasuki masjid selain masjidil Haram

Saya akan cuba meringkaskan jawapan bagi ketiga-tiga persoalan sekaligus secara padat dan mampu difahami, InshaAllah.

Asas rujukan hukum bagi persoalan ini diambil dari dua ayat berikut :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلاَ يَقْرَبُواْ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَـذَا

Ertinya : Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu kotor, maka janganlah mereka mendekati Masjidil haram sesudah tahun ini.. (At-Taubat : 28)

Satu lagi adalah :-

أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَقْرَبُواْ الصَّلاَةَ وَأَنتُمْ سُكَارَى حَتَّىَ تَعْلَمُواْ مَا تَقُولُونَ وَلاَ جُنُبًا إِلاَّ عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّىَ تَغْتَسِلُواْ

Ertinya : "Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu salat, sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan, (jangan pula hampiri mesjid) sedang kamu dalam keadaan junub, terkecuali sekedar berlalu saja." ( 4:43 )

MASUK MASJIDIL HARAM

Majoriti ulama melarang bukan Islam memasuki masjidil haram atas larangan yang terdapat di dalam ayat diatas. Namun Imam Abu Hanifah dan Ahmad mempunyai sedikit perincian dalam hal tersebut.

Berdasarkan dua ayat ini, majoriti ulama dari kalangan mazhab maliki dan Syafie melarang bukan Islam memasuki Masjidil Haram, namun demikian dibenarkan bagi ahli Kitab (Kristian dan Yahudi) untuk memasukinya dengan syarat-syarat tertentu.

Imam Abu Hanifah pula menyatakan non-muslim dibenarkan untuk memasuki masjidil haram sekadar lalu, namun tidak dibenarkan untuknya duduk dan menetap di sana (sebagaimana sebahagian umat Islam); ini kerana beliau berpandangan, ‘kotor' yang disebut di dalam ayat itu hanyalah membawa maksud kekotoran syirik yang melibatkan hati bukannya kekotoran fizikal. Lebih dari itu, Ibn Hajar menyatakan mazhab Hanafi membenarkan bukan Islam memasuki masjid tanpa syarat.

Imam Ahmad Hanbal pula menyatakan bukan Islam hanya dibenarkan untuk memasuki masjidil haram dan lainnya setelah mendapat kebenaran dari umat Islam atas tujuan-tujuan yang munasabah seperti pembinaan dan maintainance. Beliau mengambil dalil iaitu penduduk Taif dibenarkan oleh nabi s.a.w untuk menetap dan tinggal di masjid sebelum mereka memeluk Islam.

Rasulullah juga diriwayatkan menerima tetamu Kristian dari Najran di dalam masjid Madinah, malah ketika itu mereka juga diizinkan oleh Nabi s.a.w untuk menunaikan sembahyang mereka di dalam masjid, nabi menyebut kepada sahabat

"Biarkan mereka (untuk melunaskan sembahyang mereka)"

Selain itu, Imam Al-Bukhari juga ada membawakan sebuah hadis yang menyebut bagaimana seorang bukan Islam bernama Thamamah ibn Athal, diikat oleh Rasulullah di dalam masjid (ditanglkap atas kesalahan tertentu),

بعث رسول اللَّهِ خَيْلًا قِبَلَ نَجْدٍ فَجَاءَتْ بِرَجُلٍ من بَنِي حَنِيفَةَ يُقَالُ له ثُمَامَةُ بن أُثَالٍ فَرَبَطُوهُ بِسَارِيَةٍ من سَوَارِي الْمَسْجِدِ

Ertinya : Rasulullah s.a.w menghantar seorang berkuda di arah Najd, maka terlihat seorang lelaki dari Bani Hanfiah ( sedang mengintip) yang bernama Thumamah Bin Uthal, lalu diikatnya di satu tiang dari tiang-tiang masjid ( Riwayat Al-Bukhari & Muslim )

Selepas tiga hari, akhirnya setelah dia melihat bagaimana umat islam beribadah dan keramahan umat Islam kepadanya yang sentiasa bertanya keadaannya, dia akhirnya memeluk Islam kerana tertawan melihat keindahan kehidupan dan ibadah umat Islam.[1]

HUKUM MASUK MASJID SELAIN MASJIDIL HARAM

Imam Ibn Hajar Al-‘Asqolani ketika menghuraikan isu ini mengatakan mazhab Maliki tetap MELARANG bukan Islam memasuki masjid manakala Mazhab Syafie, Hanbali dan Hanafi membenarkan bukan Islam untuk memasuki masjid-masjid lain dengan syarat-syarat tertentu. Beliau juga menegaskan kebenaran ini cukup kuat dari dalil tawanan perang bernama Thumamah tersebut.

Imam Nawawi menghuraikan :

وفي هذا جواز ربط الأسير وحبسه وجواز إدخال المسجد الكافر ومذهب الشافعي جوازه بإذن مسلم سواء كان الكافر كتابيا أو غيره وقال عمر بن عبد العزيز وقتادة ومالك لا يجوز

Ertinya : Melihat kepada hadis ini, harus hukumnya mengikat tawanan dan menahannya serta harus juga seorang yang bukan Islam untuk memasuki masjid. Mazhab Syafie : menyatakan keharusannya dengan syarat terdapat keizinan dari umat Islam sama ada kafir itu dari kalangan ahli Kitab atau selainnya. Namun Khalifah Umar bin Abd Aziz, Qatadah dan Imam Malik tidak mengharuskannya. (Syarah Sohih Muslim, 12/87)

Selain yang diatas, anak murid Imam Syafie yang utama iaitu Al-Muzani juga berbeza ijtihad dengan gurunya, beliau menyatakan TIDAK HARUS bukan Islam memasuki masjid apatah lagi menetap di dalamnya, kerana jika mereka dibenarkan, sudah tentu orang yang berjunub juga akan dibenarkan. Sedangkan ayat di atas menyebut larangan bagi mereka yang berjunub memasuki masjid kecuali lalu sahaja.

Al-Mawardi memetik kata Al-Muzani iaitu :-

لأنه لو جاز ذلك له لكان الجنب المسلم أولى به لموضع حرمته وتشريفه فلما لم يجز للمسلم المبيت فيه كان المشرك أولى

Ertinya : Sekiranya harus (bagi bukan Islam masuk masjid), sudah tentu muslim yang berjunub lebih utama untuk dibenarkan disebabkan kehormatannya dan kemuliaannya, maka di ketika TIDAK HARUS bagi seorang Muslim menetap di dalamnya, maka tentulah bukan Islam lebih lagi dilarang (kerana mereka dikira sentiasa berjunub) ( Al-Hawi Al-Kabir, 2/268)

Imam Al-Mawardi As-Syafie membawakan pula teks kata-kata Imam Syafie dalam hal ini iaitu :-

ولا بأس أن يبيت المشرك في كل مسجد إلا المسجد الحرام

Ertinya : Tiada masalah untuk seorang bukan Islam menetap di setiap masjid kecuali masjidil Haram. ( Al-Hawi Al-Kabir, 2/268)

KESIMPULANNYA

Majoriti ulama bersepakat bukan Islam TIDAK BOLEH MEMASUKI masjidil haram, namun dengan agak ketara mereka berbeza ijtihad dalam menentukan hukum bagi masjid-masjid yang lain.

Namun demikian, majoriti ulama silam dan kontemporari dilihat mengharuskan bagi masjid-masjid biasa dengan syarat-syarat tertentu seperti :-

  • 1) Mestilah dengan izin umat Islam atau badan berkuasa Islam bagi masjid berkenaan.

  • 2) Mestilah mempunyai sebab yang munasabah untuk memasukinya sama ada untuk mendengar penerangan berkenaan Islam, mendaftar sesuatu, bertanya, melihat dan mempelajari cara ibadah umat Islam dan yang seumpamanya.

  • 3) Mereka mestilah menghormati seluruh keadaan dan alatan masjid, tidak membuat kebisingan dan memakai pakaian yang sesuai seperti menutup aurat bagi wanitanya yang izin memasuki masjid.

Berkenaan sama ada larangan memasuki masjid adalah pandangan wahabi atau tidak. Ia tidak berkaitan dengan wahabi, sememangnya terdapat sebahagian ulama yang melarang, namun mereka yang disebut di atas semuanya berada di zaman sebelum lahirnya Syeikh Muhammad Ibn Abd Wahab. Justeru, tiada sebarang kaitan dengannya.

Namun demikian, jika apa sahaja yang berbeza dengan mazhab Syafie itu dilabel sebagai Wahabi oleh orang Malaysia, maka mereka yang melarang mungkin boleh digelar Wahabi. Wallahu'alam.

Cuma sedariah tindakan label melabel ini adalah bukanlah satu tindakan yang tepat malah tidak boleh sama sekali disebabkan satu isu dua pandangannya, habis digeneralisasikan seseorang itu sebagai Wahabi dan semua ciri-ciri yang direka. Bersikap wajar dan adillah.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

8 Nov 2009

read more "Bukan Islam Memasuki Masjid : Penjelasan"