Mengharap Secebis Kasih-Nya

Istiqamah di Atas Manhaj Nabi SAW dan Sahabat r.hum

Pembahagian Syirik

Assalamua’laikum WBT,

InsyaALLAH saya sekadar kemampuan akan menterjemah satu pelajaran penting untuk masyarakat umum yang dipetik daripada risalah الدروس المهمّة لعامة الأمة (Pelajaran-pelajaran penting untuk masyarakat umum) oleh Samahatu Syaikh ‘Abdul ‘Aziz Bin ‘Abdullah Bin Baaz rhm., mantan ketua mufti Arab Saudi .

Pelajaran yang dimaksudkan adalah أقسام الشرك (bahagian-bahagian syirik). Walaupun ada sebahagian kita sudah tahu, tapi ini sebagai peringatan untuk kita dan kita boleh menambah perkataan arab. Kalau ada faedah tatabahasa yang mudah, insyaAllah saya akan jelaskan.

أقسامُ الشركِ ثلاثةٌ[1]

Bahagian-bahagian syirik ada tiga:

1) شِركٌ أكبرُ [2]

Syirik besar

2) وشِركٌ أصغرُ

Syirik kecil

3) وشِركٌ خفيٌّ

Syirik tersembunyi

read more "Pembahagian Syirik"

[sambungan akhir] Di Sini Kami Belajar

Penantian suatu penyeksaan, tetapi menggembirakan

Seminggu selepas itu berlalu, masih tiada orang menghubungi kami. Kadang-kadang rasa terkilan di hati membuah. Usaha dah dilakukan,doa pun sudah tetapi hasil belum kunjung tiba. Adakah orang tidak mempedulikan iklan tersebut? Oh Tuhan, timpakanlah ujian yang sesuai dengan keupayaan hambaMu ini ya ALLAH. Di saat itu, pujukan isteri telah meredakan ke’sakit’an dalam diri ini.

Di suatu tengahari, aku tertidur di surau bangunan Engineering UIA selepas kelas. Sedang aku asyik dibuai tidur itu, telefon aku berbunyi dengan kuatnya dan mengejutkan aku yang sedak nyenyak itu. Aku menjawab telefon dari nombor yang tidak dikenali itu dengan mamai sahaja. Hendak saja aku off telefon itu. Selepas memperkenalkan diri dengan nama Kak Nor, dia menyatakan hasratnya untuk mendapatkan khidmat mengaji al-Quran. Aku yang nyenyak tadi terus bingkas bangun dengan lajunya. Aku tanya bagaimana dapat tahu nombor aku ini. Dia katakan bahawa dia ada terbaca iklan aku dalam timbunan surat di rumahnya. Bukan kepalang aku gembira. Ya Allah, aku bersyukur kepadaMU kerana menggerakkan hatinya untuk membaca iklan aku itu.

Dalam perbualan tersebut, kami saling berkenalan dalam rangka memudahkan perjumpaan nanti. Katanya, dia hanya memerlukan Ustazah dan bukan ustaz. Dalam kotak fikiranku, memang dah nampak wajah ‘orang rumah’ aku yang boleh mengajar kerana dia pun punyai asas bacaan al-Quran yang baik melalui siri tadarus al-Quran kami di rumah. Tapi hairan juga, aku hanya letakkan nama aku sebagai orang yang perlu dihubungi. Tiada nama perempuan tetapi dia tetap menghubungiku. Di situ kesyukuranku bertambah.

dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan Demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar Sesungguhnya azabKu amatlah keras".

(surah Ibrahim: 7)

Katanya lagi, dia dah pernah ada guru lelaki sebelum ini,tapi ada masalah sikit. Aku tak mahu bertanya lebih. Dia juga ada tanyakan bagaimana dengan bayarannya. Pada waktu itu, aku katakan bahawa kami tak kisah dengan bayaran, ikut kemampuan yang dapat diberi. Dia beritahu bahawa dia kerja dengan suaminya yang meniaga.

Pada hari yang dijanjikan, aku pergi ke rumahnya bersama isteri untuk berkenal-kenal dengan lebih dekat berpandukan alamat yang diberikannya. Aku masih ingat,aku pergi pada waktu malam kerana petang dia agak sibuk sikit. Aku tak kisah bila-bila pun. Agak susah juga nak cari rumahnya kerana kami tak biasa dengan kawasan Taman Melati. Seperti alamat yang tertera, aku cuba menekan loceng rumah hampir 2,3 kali juga. Tiba-tiba seorang perempuan keluar, aku kira orang gajinya. Dia cuba memberitahu

“Kenapa masuk rumah melalui pintu belakang? Masuk dari depan la”

Ya Allah, aku ingat pintu depan dah. Rupanya yang kawasan tepi jalan itu masih rumahnya. Aku lihat dari jauh sikit, besarnya rumah! Oh ,aku ingatkan suaminya ‘meniaga’ rupanya businessman. Haishh….

Kita tinggalkan kisah rumahnya, itu hal dia. Itu rezeki dia, masing-masing dah ada rezeki yang Allah tentukan. Tapi syukurlah mereka bukanlah orang yang sombong dan mereka layan kami dengan baik sekali sebagai tetamu bukan sebagai pekerja. Agak asyik sekali bersembang dengan mereka berdua. Dia ada juga menceritakan mengapa lebih memilih ustazah dan bukannya seorang ustaz.

Kelas bermula seminggu lepas itu dan tidak lama selepas itu rezeki kami datang lagi. Kali ini seorang berpangkat kakak juga yang menghubungi kami. Dan seperti biasa kami mengatur pertemuan untuk berkenalan. Kakak itu dalam umur lewat 20-an. Kami berjumpa di sebuah restoran pada suatu petang.

Kejutan kali ini lain sikit kerana kami berjumpa dengan kakak yang free-hair. Kami pada mulanya agak terkejut tetapi buat selamba saja. Dia mahukan anaknya dan dia sendiri untuk diajar ilmu mengaji al-Quran. Aku awalnya boleh saja nak mengajar tetapi memandangkan kakak itu agak muda lagi dan untuk membendung apa-apa kemungkinan, aku serahkan pada isteriku untuk mengajarnya.

Dan lepas-lepas itu,Alhamdulillah rezeki datang lagi. Seorang peniaga menghubungiku untuk mendapatkan khidmat mengajar al-Quran untuk dua orang anak perempuannya. Cerita anak-anaknya pernah ku coretkan di http://abu-muawiyah.blogspot.com/2009/12/realiti-masyarakat-yang-sebenar.html

Perjalanan jauh tak terkira

Hari demi hari, perjalanan hidup kami makin sibuk. Pagi sampai petang belajar di kuliah, sebelah malam keluar bekerja. Walaupun nampak agak letih, tapi perasaan kami semakin gembira kerana sekurang-kurangnya kami dapat buat sesuatu untuk keluarga,bukannya bergantung pada orang tua di kampung. Dengan kandungan isteriku makin membesar, begitulah semangatnya makin mem’besar’ juga mengingatkan persediaann untuk anak dalam perut.

Bila kandungan makin membesar, baru terlintas untuk memiliki kereta pula. Ini fenomena biasa bila berkeluarga. Ramai yang menasihati kami untuk memiliki kereta dan tak kurang yang tak menyokong. Biasalah asam garam kehidupan,mana ada semua orang puashati apa yang kita rancangkan. Bagi yang tak menyokong, aku katakan bahawa tak perlu bimbang mengenai wang bayaran,aku hanya memerlukan sokongan dari segi moral sahaja. Nak memiliki kerta pun bukan untuk bermewah-mewah,tapi memandangkan kami sibuk dengan bgergerak ke sana-sini ditambah lagi isteri sedang berbadan dua pula. Adalah sebab-sebab tertentu yang membuatkan mereka tidak menyokong.

Seingat aku, usaha untuk mendapatkan kereta dilakukan akhir tahun lepas lagi. Selaku berstatus pelajar, amatlah susah untuk mendapatkan pinjaman bank. Pinjaman telah dimohon dari beberapa bank tapi tak berjaya kerana aku mengalami masalah penjamin. Aku dimaklumkan bahawa penjamin yang aku cadangkan telah ditolak oleh pihak bank atas sebab-sebab tertentu. Alahai, aku ingatkan polisi bank sama dengan dulu, tapi polisi sekarang agak ketat berbanding dulu. Penyata buku bank sudah tak dapat digunakan lagi. Kena ada slip gaji. Ada juga yang ingin membantu untuk guna nama syarikatnya, tapi janji tinggal janji.

Akhirnya, ada saudara aku sanggup membantu untuk jadi penjamin dan aku berjanji untuk tidak menghampakannya. Ini kerana jika aku gagal bayar pinjaman bulanan, masalah akan berlaku pada akaun penjamin. Aku kena buktikan bahawa aku dapat bayar tiap-tiap bulan. Aku berdoa,jika niat aku membeli kereta untuk sesuatu yang perlu, moga ALLAH akan membantuku dari setiap sudut. Kali ini, permohonan untuk mendapatkan pinjaman telah berjaya. Aku terus membayar wang pendahuluan melalui wakil jualan kereta merangkap sahabatku.

Setelah urusan perjanjian selesai, sahabatku telah menghantar kereta berjenama Perodua VIVA 1.0 EZ kepadaku. Masa aku menerima kereta tersebut, aku tengah sibuk menyiapkan projek akhir tahun untuk pelajar kejuruteraan. Bercampur baur perasaan pada waktu itu antara nak menyiapkan projek yang banyak lagi dan menerima ‘orang’ baru dalam hidup. Tapi apapun,perasaan gembira tak dapat disembunyikan kerana inilah pertama kali aku dapat membeli kereta baru. Apalagi, aku terus memandu kereta yang berautomasi automatik itu dan menghantar pulang Ummu Muawiyah ke rumah. Dia hanya senyum memanjang bilamana menaiki kereta tersebut.

“Alhamdulillah bolehlah kita pergi ke tempat kerja dengan kereta ni ye bang”, katanya dalam nada gembira

Bukannya mudah untuk memiliki kereta tersebut. Lebih 2 bulan diusahakan untuk dapatkan dan kadang-kadang hampir putus asa untuk meneruskan. Tapi mengingatkan orang tengah mengandung, kesian pula ke sana-sini membonceng motorsikal.

Latihan industri

Bermula awal bula April, aku ditempatkan di syarikat Perunding Azfar sebagai tempat latihan industri. Ianya satu kursus yang wajib untuk pelajar kejuruteraan. Aku pernah coretkan mengenainya di http://abu-muawiyah.blogspot.com/2010/04/latihan-industri.html

Sepanjang tempoh latihan industri, banyak masa aku habiskan di dalam pejabat. Masuk kerja pukul 9 pagi dan balik 6 petang. Sebelah malam kami berdua mengajar dan hari minggu pun ada juga mengajar. Boleh dikatakan masa agak padat. Kalau ada hari kelas dibatalkan, kami akan pergi ke kuliah-kuliah agama anjuran sahabat-sahabat INTIS dan biasanya akan diberitahu melalui SMS oleh http://lobaitampin.blogspot.com/

Semakin padat jadual,semakin bijak masa digunakan. Mungkin inilah pelajaran yang aku dan isteri dapati bila kahwin masa belajar ini. Aku kena pandai mengurus rumahtangga dengan pembacaan dan khidmat nasihat daripada ahli keluarga dan sahabat handai.

3 bulan hampir berlalu membawa makna latihan industri hampir tamat. Aku sibuk untuk buat persediaan nak balik kampung untuk menenangkan fikiran sekejap sambil merehatkan sedikit adik kecik dalam perut yang selalu menendang ibunya. Sekali sekala sakit juga perut ibu kerana ianya tersangat aktif. Tunggulah nanti keluar,ayah nak cubit kaki yang kuat menendang itu. Nak balik kampung untuk urusan mengurut dan menyiapkan rumah sebagai persediaan menyambut ‘orang ketiga’ ini.

Sehingga hari ini aku masih belajar erti kehidupan ini. Kekhilafan dalam hubungan suami isteri mesti wujud dan aku belajar untuk bijak mengatasinya. Keegoan mesti dikurangkan kerana ianya boleh ‘membunuh’!! tapi sape tak sayang bini woiiii.. sedangkan pungguk rindukan bulan,inikan pula suami isteri(macam salah je peribahasa ni dan memang salah pun)

“oleh itu, hendaklah Engkau (Wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan Yang betul sebagaimana Yang diperintahkan kepadaMu, dan hendaklah orang-orang Yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; Sesungguhnya Allah Maha melihat akan apa Yang kamu kerjakan.”

(Al-Hud: 112)

“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan Kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.”

(Al-Ankabut: 69)

read more "[sambungan akhir] Di Sini Kami Belajar"

[sambungan 2] Di Sini Kami Belajar

Bulan itu,bulan cinta

Masuk bulan Ramadhan, kami menyambutnya dengan perasaan gembira seperti umat Islam lain. Bezanya kami tak macam dulu, sepasang suami isteri yang mempunyai peraturan-peraturan sendiri. Hanya orang yang dah kahwin tahu hakikat ini J. Alhamdulillah, sahur kami dapat bangun sama-sama. Masa bujang dulu, pernah juga terlepas untuk bersahur dan makan ala kadar sahaja. Tapi lepas kahwin, makan macam di kampung. Di sini perlunya isteri yang pandai memasak dan pandai modify apa yang ada. Dinasihatkan pada akhawat yang membaca cerita ini supaya jangan sibuk berdakwah di luar sahaja, keperluan keluarga perlu diutamakanJ

Bulan ini,bulan kejayaan

Habis sahaja Ramadhan, manusia sibuk membuat persiapan untuk menyambut hari raya ‘idul fitri. Aku pun sibuk juga, tapi sibuk untuk hari menyambut menantu (kenduri sebelah pengantin lelaki). Tidak banyak persiapan dibuat kerana kami sengaja nak buat simple sahaja sejajar dengan tuntutan agama. Ada baiknya kita bersederhana kerana duit lebih diperlukan untuk hari depan bukannya hari kahwin. Ada orang berpendapat “takpe habis duit banyak, kan sekali seumur hidup”. Aku katakana “betul tu sekali seumur hidup, dan yang sekali tu lah nak buat yang paling baik iaitu mengikut apa yang digariskan oleh syariat”. Sehingga hari ini aku masih berpuashati dengan apa yang telah aku lakukan masa kahwin dulu. Walaupun tidaklah 100% ikut kemahuanku, sekurang-kurangnya aku dah cuba menerangkan. Amat susah untuk terapkan yang betul kerana ada orang dibelakang yang cucuk jarum.

Tidak ada perkara menarik yang berlaku hari kenduri. Seperti orang lain juga, adat melayu diteruskan selagi tak bercanggah dengan syariat. Kecuali ada satu peristiwa menarik di http://abu-muawiyah.blogspot.com/2009/10/aku-pun-hilang-handset.html

Peringatan lagi

Ada satu peristiwa yang akan diingati kami berdua adalah satu kejadian dimana aku hampir mengalami kecederaan parah atau mungkin tak dapat menghirup udara lagi. Masih segar dalam kotak memori aku dimana sewaktu ingin ke program Malam Bina Iman dan Taqwa(MABIT) anjuran ikhwah UIA, aku bertolak ke sana dengan menaiki motorsikal bersama isteri. Sebelum bertolak, aku terpaksa membuang sampah yang ada dalam rumah ke tempat buang sampah awam. Aku berjalan di bahu jalan sambil diperhatikan oleh Ummu Mua’wiyah dari jauh. Setelah selasai hajat tersebut, aku terus menuju ke arah motorsikal yang berdekatan dengan Ummu Mua’wiyah. Sedang berjalan, aku terdengar satu bunyi kereta sedang membrek dengan kuat. Cuba bayangkan kereta yang tengah memecut laju tiba-tiba brek dengan kuat, tayar bergeser dengan jalan sedang kereta masih bergerak. Aku cuba menoleh ke belakang, memang tak dapat ku bayangkan kereta yang sedang bergerak laju rupa-rupanya sedang menuju tepat ke arahku.

Aku menenangkan diri, aku cuba lari ke tepi sekuat mungkin. Dalam keadaan aku melihat kereta itu,aku sempat lagi berfikir bahawa keadaan kaki pasti akan patah teruk dan pada waktu itu aku bertekad lari semampu mungkin.

Waktu itu, aku betul-betul di tepi kedai makan. Semua yang ada dalam kedai bingkas dari tempat makan menuju ke tempat kejadian. Pemandu kereta tadi yang hampir-hampir melanggarku sempat memusingkan stering sedikit tetapi dia melanggar kereta lain dan terus memecut lari dan melanggar lori pula lalu memecut lari dari tempat kejadian. Sungguh hairan bagaimana dia boleh lari dengan kereta yang melanggar kenderaan lain. Hipotesis yang aku boleh buat adalah sama ada pemandu itu mabuk atau dia cuba nak mengelak daripada sesuatu.

Dimana Ummu Mua’wiyah? Rupanya dia tak buat apa-apa,keras macam patung. Sebenarnya, dia nampak membatu sebab dia tidak menyangka langsung orang yang dia paling sayangi selain Allah dan Rasulullah SAW sedang menghadapi musibah yang sangat berat. Dialah yang saksi utama dari awal hingga akhir kejadian tersebut.

Aku cuba mendapatkan beliau,tiba-tiba air mata deras mengalir. Dan aku merangkulnya erat sambil berkata “abang takde apa-apa, jangan sedih-sedih. Allah bagi peluang lagi untuk kita bersama”.

Anak soleh

Dan ada satu benda lagi yang dirisaukan pada waktu itu ialah mengenai zuriat. Selama berbulan kahwin,tiada satu tanda bahawa benih melekat. Dalam perancangan,nak anak dalam masa terdekat. Pelbagai ikhtiar dibuat tapi tak berhasil. Kata seorang kawan,normal lah kalau belum dapat anak dalam 3,4 bulan. Berkat kesabaran, Alhamdulillah melalui alat “pregnancy test” menunjukkan tanda positif bahawa ada benih yang melekat pada bulan November lepas. Bukan kepalang si bakal ibu bergembira. Si ayah tenang sahaja.

Dan sekarang,kandungan semakin membesar dan menunggu masa untuk keluar. Menurut doktor yang memeriksa,kemungkinan kandungan akan dilahirkan pada akhir bulan Ogos tahun ini. Dan menurut ujian pengesanan, jantina kandungan ialah perempuan. Tak penting semua itu asalkan semua selamat;ibu dan anak.

Rezeki daatang bergolek ke?

Untuk menyambut kehadiran orang ke’tiga’ tersebut, rezeki tidak datang bergolek tetapi memerlukan tenaga untuk ‘menoreh getah’ orang kata. Sebenarnya sebelum kahwin lagi aku sudah membuat kerja sambilan dengan menjual minyak wangi dan juga mengajar rumah ke rumah. Pada awalnya,aku hanya mengajar matematik untuk PMR dan SPM. Adapun,isteriku belum mendapat pekerjaan lagi. Jadi aku dan dia mengerah fikiran bagaimana untuk mendapatkan pekerjaan disamping mendengar nasihat kawan-kawan. Aku mendapat akal untuk membuat iklan perkhidmatan mengajar rumah ke rumah.

Bermula dari situ, aku terus mendapat laptop aku dan terus membuat iklan berbentuk poster dan terus difotostat sebanyak mungkin. Modus operandinya senang sahaja, aku akan bergerak di malam hari untuk mengedarkan iklan-iklan tersebut ke rumah orang melalui peti surat. Sudah tentu orang akan membaca dulu, tak kisahlah ia menerima atau tidak. Dalam iklan tersebut dinyatakan perkhidmatan untuk mengajar subjek akademik dan al-Quran serta B.Arab. selesai buat kerja, kami bertawakkal pada Allah untuk melembutkan hati tuan rumah supaya dapat menerima kami kelak.

Ada satu dua peristiwa yang masih diingati bilamana aku pergi bersama isteri yang sedang mengandung 2 bulan. Kami pergi dengan naik motorsikal Honda aku. Aku mengajarnya supaya kena bersusah susah dulu dan kerja ini untuknya juga. Pada suatu malam, kami pergi ke kawasan Gombak di suatu kawasan perumahan. Biasalah kawasan perumahan tentulah bercampur antara keluarga Melayu dan kaum lain. Dalam ‘operasi’ itu, aku mematikan enjin motorsikal di kawasan jalan yang lebih tinggi dan bergerak tanpa menghidupkannya supaya orang tak perasan. Macam pencuri pun ada J Tapi adalah tuan rumah yang perasan akan kehadiran kami dan kami buat muka selamba sahaja dan berlalu dengan muka ‘cover’. Sedang asyik mengedar iklan tersebut, kami tiba-tiba disalak anjing. Apalagi, enjin dihidupkan dan kami terus memecut dengan lajulah,bimbang disyaki sebagai pencuri. Padahal kami tak mahu menyusahkan tuan rumah dengan kedahiran orang di malam hari. Biarlah mereka membaca keesokan hari.

Begitulah al-kisahnya kami mengedar iklan, ada juga sampai ke kawasan Taman Melati, Wangsa Maju dan kawasan sekitar. Kami lebih suka untuk menjadi guru Home Tuition kerana masa untuk bekerja lebih fleksibel.

read more "[sambungan 2] Di Sini Kami Belajar"

[sambungan] Di Sini Kami Belajar

Sejak setahun dulu, ramai yang kurang yakin aku dapat melayari bahtera kehidupan dengan elok dan akan mengharapkan pertolongan orang tua sahaja. Aku bulatkan tekad sejak dari hari aku melafazkan “aku terima nikahnya….” hinggalah sekarang bahawa aku berusaha untuk tidak meminta bantuan dari orang tua terutama dari segi ekonomi. Aku hanya akan bergantung padaNYA sahaja diiringi dengan usaha yang jitu. Aku bukan bersikap takabbur,tapi sebagai membuktikan bahawa perkahwinan bukan dinilai pada faktor usia,tetapi kematangan yang ada.

“dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka daripada limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha mengetahui.”

(An-Nur: 32)

Sebuah perjuangan tidak dihampar dengan permaidani merah, jadi ia memerlukan pengorbanan yang berterusan bagi memastikan misi dan visi tercapai. Dengan berbekalkan kudrat yang ada, kami tempuhi bersama-sama.

Hempedu pertama dirasai

Ujian pertama seingat aku selepas kahwin adalah bilamana aku disyaki terkena jangkitan deman denggi. Maha Suci Allah, aku tidak tahu bagaimana untuk gambarkan peritnya dugaan itu. Seumur hidup aku, belum pernah aku dijangkiti demam denggi dan tempohnya agak lama iaitu seminggu aku di atas katil. Pada masa itu, seluruh dunia heboh mengenai penyakit H1N1 akibat selsema babi.

Dengan kehidupan baru bersama isteri, aku sudah ditimpa dengan ujian tersebut. Mungkin Allah SWT ingin memperlihatkan padaku bahawa isteri yang aku nikahi pada sebulan sebelum tragedi itu adalah betul-betul menjadi seorang ‘isteri’. Mungkin Allah SWT telah campakkan perasaan belas kasihan yang lebih kepada kaum Hawa berbanding kaum Adam.

Apa tidaknya, seingat aku siang malam si isteri inilah yang menjaga aku. Walaupun aku sakit macam tak sedar, tapi sebenarnya aku melihat kelakuan si isteri ini. Tangannya tidak berhenti mengelap seluruh badan sambil menangis-nangis bimbang akan kesihatan si suami. Ada sekali aku bertanya padanya “dah pukul berapa?” Dia jawab pukul 3 pagi sambil mengelap badan dengan air asam jawa.

Begitulah hari-hari, sehinggalah dia diberi warning letter kerana tak hadir kelas. Aku dah beritahu supaya pergi ke kelas, tetapi dia tak boleh tenang dalam kelas.

Satu lagi, kerenah orang yang sakit ini pun boleh tahan juga. Aku pun tak tahu macam mana perangai begitu boleh timbul. Macam-macam yang diminta. Selama seminggu aku berulang alik dari hospital Selayang hinggakan ke hospital orang asli Gombak pun aku pergi. Dan masa itu aku belum memiliki kereta lagi dan tak terfikir pun nak ada kereta kerana desakan ekonomi. Dan aku memang bertekad tak mahu menyusahkan sesiapa dalam hal ini. Ummu Mua’wiyah sentiasa menemani aku. Akhirnya,segala puji bagi Allah aku diberi kesihatan kembali.

Bagi pembaca sekalian,anda tidak perlu untuk rasa cemburu dengan apa yang diperkatakan olehku mengenai wanita. Jika kalian sudah mempunyai isteri mahupun suami,hargailah mereka dan cubalah mencari-cari kebaikannya dan bukan mengorek-ngorek kesalahan yang dilakukan mereka. Aku tidak mahu menjadi seperti sesetengah penulis yang mengangkat pasangan masing-masing seolah-olah tiada pernah kesalahan yang dibuatnya. Cubalah bersyukur kelebihan yang dimiliki oleh pasangan masing-masing dan meredhai segala kekurangan yang ada. Di situ kunci kebahagian tanpa dilupakan pada ALLAH dan RasulNYA.

Berbalik pada cerita tadi, pada hari terakhir aku ke hospital, kami balik ke rumah yang tidak ada bilik itu dengan perasaan yang senang hati. Sebaik sahaja aku sampai di rumah,isteriku@Ummu Mua’wiyah terus rebahkan badannya dikatil. Aku sikit kehairanan, rupa-rupanya penyakit aku tadi terus di’sambung’ olehnya. Sekali lagi musibah tertimpa padaku dan episod baru bermula.

Kali ini, ujian ke atas aku pula untuk menjaga beliau. Aku sedaya buat juga seperti apa yang dibuat pada ku. Tetapi sungguh,tidak sama apa yang telah dia korbankan. Aku sudah cuba buat yang terbaik tetapi tidak mampu menyamainya. Di sinilah keegoan lelaki akan merudum jatuh seperti jatuhnya pasir di dalam jam pasir.

“Adakah patut kamu menyangka Bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti Yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang Yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" ketahuilah Sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).”

(al-Baqarah:214)

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Tidak sekali-kali akan menimpa Kami sesuatu pun melainkan apa Yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung Yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang Yang beriman bertawakal".

(at-Taubah: 51)

Tapi syukurlah kesakitan yang dialaminya tidak lama seperti yang ku alami. Tambahan, ramai sanak saudara yang datang menghulurkan bantuan berupa makanan, ubat, wang dan sebagainya. Dan selepas itu kehidupan berjalan seperti biasa.

read more "[sambungan] Di Sini Kami Belajar"