Mengharap Secebis Kasih-Nya

Istiqamah di Atas Manhaj Nabi SAW dan Sahabat r.hum

"Bahasa Arab Bahasa Yang Susah"

Sekali baca tajuk di atas tentu sekali menimbulkan kegelisahan dikalangan pembaca blog penulis tika ini. Gelisah kenapa? Mungkin disebabkan selama hidup para pembaca sekalian disogok dengan motto “bahasa arab bahasa yang mudah”. Tapi bagi penulis agak sukar menerima sogokan itu disebabkan beberapa alasan yang akan dikemukakan kemudian.

Penulis bukannya mencari publisiti murahan dengan menimbulkan isu ini, tetapi tidak lain hanyalah untuk menyedarkan ramai daripada kita mengenai hakikat bahasa arab yang sebenar. Sebelum pergi jauh, penulis ingin memberitahu bahawasanya diri penulis masih lagi dalam keadaan serba kekurangan dalam banyak segi terutama dalam ilmu bahasa arab disebabkan buat masa sekarang tumpuan masa banyak diberikan pada subjek kejuruteraan yang diambil sekarang(walaupun tidaklah cemerlang sangat).

Ok, penulis amat bersetuju jika dikatakan bahasa arab amat susah untuk dipelajari dan sukar melekat di hati jika sifat-sifat atau ciri-ciri berikut terdapat pada jiwa kita;

1. Tidak ikhlas sepenuhnya untuk mempelajari bahasa arab.

2. Belajar untuk lulus exam sahaja.

3. Bersikap tergesa-gesa untuk mengusainya tanpa ada kesabaran.

4. Tidak mengetahui dengan sebenarnya bahawa b.arab merupakan kunci ilmu.

5. Tidak mempelajari dengan sistem yang baik.

Penulis melontarkan pendapat ini adalah berdasarkan pengalaman yang dilalui sepanjang perjalanan hidup ini. Buat peringatan,penulis bukanlah seorang yang layak untuk mengadilinya, tetapi sekurang-kurangnya penulis menyampaikan serba sedikit apa yang dirasakan oleh guru penulis. Beliau bukanlah seorang pelajar jurusan bahasa arab, tetapi hanyalah seorang pelajar ekonomi. Ilmunya dalam bidang bahasa arab boleh dikatakan sangat menakjubkan dan ramai dikalangan pelajar jurusan tersebut bertalaqqi dengannya. Penulis bukanlah taksub membuta tuli dengannya dan hanya dia seorang sahaja yang betul. Tetapi sistem yang dia belajar dulu merupakan salah satu faktor kehebatannya. Ramai yang belum menyedari hebatnya sistem itu. Ramai yang terlalu nak cepat untuk menguasainya. Sebenarnya pencapaian penulis sepanjang 5 tahun belajar bahasa arab di SMU(A) Maahad Muhammadi Lelaki(1999-2003) tidak kurang hebatnya sehingga penulis mendapat gred tertinggi dalam SPM.Alhamdulillah. Penulis beritahu bukan untuk menunjuk-nunjuk sahaja, tapi sebagai perbandingan minat dan kepentingan bahasa arab penulis amat berbeza dulu dan sekarang. Terus terang penulis katakan bahawa waktu di sekolah dulu penulis amat tidak mengetahui kepentingan dan keperluan bahasa arab untuk memahami al-Quran dan al-Hadis dengan sebenarnya. Gred yang tercapai dalam peperiksaan hanya berhasil daripada usaha hafalan semata-mata. Ustaz-ustazah selalu mengingatkan agar ikhlas dalam belajar. Tapi waktu itu,kita masih di usia remaja tidak mengerti untuk ikhlas dan menghargai masa yang ada. Banyak waktu dihabiskan dengan aktiviti yang tidak penting. Sekarang inilah peluang penulis untuk menebus kesilapan dulu.


Pengalaman yang tak dapat dilupakan penulis ketika mula-mula berjinak-jinak dengan ilmu ini adalah ketika penulis bertanya kepada guru penulis(sebelum belajar dulu). “bila start kelas b.arab?” dia jawab “dah start pun kelas tu”. Tapi penulis belum pergi lagi(hangat-hangat je) sehinggalah suatu petang bila penulis bertanya soalan yang sama kepadanya. Apa yang dia jawab “mung ni kali ke37 tanya soalan yang sama tapi tak gi jugak”. Merah muka masa itu,malu kepada diri sendiri bila disindir sebegitu. Bertolak dari hari itu penulis mula ikhtiar untuk mengikuti kelasnya pada awal 2007 hinggalah sekarang(petang tadi) penulis mengikuti pengajian beliau. Syukur kepada Allah SWT kerana sekarang penulis sudah mengenali bahasa arab dengan sistem yang bagus. Penulis sudah dalam buaian keasyikan ilmu bahas arab dan sudah boleh memegang kunci ilmu Islam ini dengan baik. Cuma penulis kekurangan dari segi perkataan arab kerana course yang diambil disini tidak ada kaitan dengan bahasa arab. Hanya waktu-waktu tertentu dapat belek-belek kitab arab.

Buat pengetahuan, pada esok hari(1 Mac) penulis akan ke Setiawangsa untuk menyertai satu kursus intensif Bahasa Arab dibawah kendalian Ust Xifu Naser. Penulis akan mencuba utuk mempelajari bahasa arab dengan satu sistem yang lain pula. Guru penulis sekarang membawa sistem dari Universiti Madinah, tapi Xifu akan bawa sistem dari Barat(buku David Cowan). Bila dah habis kursus tersebut, insyaAllah penulis akan membuat perbandingan daripada kedua-dua sistem ini.


Setakat ini dahulu dapat penulis coretkan untuk tatapan pembaca sebagai pemangkin kecemerlangan dalam bidang bahasa al-Quran ini. Bahasa Arab insyaAllah akan jadi senang jika faktor-faktor di atas dapat dikikis.

حيّ بالعربية

read more ""Bahasa Arab Bahasa Yang Susah""

Aku Tiada Masa?

Aku tiada masa,aku tak cukup masa,

Semua masa tak sempat aku rasa,

Kerana fizikal ku tak boleh dipaksa,

Walaupun dari luar berbadan sasa,


Tapi aku ada masa, punya cukup masa,

Semua kesempatan aku merasa,

Tapi malangnya untuk perkara sia-sia,

Games, movie, bual kosong ku bedal semua,

Tidak untuk perkara agama dan umat sedunia ,


Bukan menyindir, bukan untuk buat orang terasa,

Tapi buat peringatan untuk diri ini jua,

Supaya tidak disia-siakan umur yang ada,

Tekad mengejar akhirat, dunia tidak dilupa.


Dendangan hati yang lara;

Pengembaraan Jauh Seorang Kekasih Allah

read more "Aku Tiada Masa?"

Sebelum dibius Cinta

saya agak tertarik dengan artikel ust Hasrizal mengenai cinta ini. jadi saya telah pastekan artikel beliau di sini. Dan beliau membenarkan dengan menyertakan alamat web dia.

_______________________________________________________________________

“Bodoh punya batu, kenapa kau langgar kekasih aku?” marah seorang lelaki kepada seketul batu yang ‘melanggar’ buah hatinya.

“Oh abang, biar pun baju abang masam, masam itulah masam-masam manis jiwaku!” kata seorang ‘gelifriend’ kepada ‘buayafriend’ beliau.

Dialog di atas adalah ayat-ayat cinta yang biasa. Biar pun bunyinya sangat luar biasa kepada manusia biasa, ia amat biasa dan perlu bagi dua belangkas yang sedang mabuk cinta. Sama ada cinta di antara dua pasangan yang belum bernikah, atau yang pengantin baru yang sedang menikmati bulan-bulan madu mereka.

BIUS CINTA

Memang cinta itu luar biasa. Cinta bukan sahaja buta, malah boleh membutakan lagi melumpuhkan mereka yang terkena panahannya.

“Aku dibius cinta!” kata Melly Goeslow.

Kemabukan cinta ini menyulitkan kita untuk merasionalkan perbincangan. Perbahasan-perbahasan tentang do’s and don’ts yang dikemukakan untuk keelokkan jangka panjang cintanya, ditepis sambil pandangan melirik sebelah mata sahaja.

kredit foto

Namun, saya ingin mengajak pasangan yang sedang mabuk cinta, belangkas yang sedang bertelinga tuli dari nasihat-nasihat di sekitar mereka, supaya duduk sejenak dan berusaha untuk menjawab soalan-soalan realiti yang saya senaraikan di bawah nanti, sesuai untuk meneroka kembara mawaddah dalam sebuah rumahtangga yang kekal hingga ke hujung nyawa.

Firman Allah SWT:

30_21

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu, isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang (mawaddah) dan belas kasihan (rahmah). Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir” [al-Rum 30: 21]

Sesungguhnya mawaddah itu adalah cinta yang tumbuh, terbina dan bertambah dari semasa ke semasa di sepanjang bahtera perkahwinan dilayari. Cinta yang terbit dari satu demi satu kejayaan suami dan isteri menempuh kesukaran, kesulitan dan cabaran hubungan perkahwinan mereka.

Agar bulan madu itu bulannya menjadi tahun yang berpanjangan, dan madu tidak menjadi racun, saya mengajak setiap pasangan yang masih ’sedar’ sebelum dibius cinta, agar menjawab soalan-soalan berikut dengan jujur dan telus. Jangan tergesa-gesa menjawabnya, fikirkan satu persatu, sehari demi sehari, sebelum menabur janji menyulam kata, sebelum janji dimeterai, sebelum ikatan disahkan agama:

SOALAN PEREMPUAN KEPADA PASANGANNYA:

  1. Syukur Alhamdulillah, aku disahkan mengandung. Tetapi alahanku menyebabkan aku tidak mampu mencium baumu sayang. Mendekatimu sahaja sudah cukup mengundang loya. Entahlah berapa lama, mungkin sebulan dua, mungkin empat bulan atau lima. Ada kemungkinan bukan sahaja untuk kandungan kali pertama, malah yang depan-depan juga. Sabarkah engkau dengan kerenahku? Masihkah aku ini cintamu di kala itu?
  2. Semasa mengandung, aku tidak lalu makan, mulutku asyik mengeluh sakit sini dan sakit sana. Tidur sering tidak lena, aku yang ceria berubah menjadi pemarah dan sering berduka. Bukan aku sengaja tetapi segala yang kurasa di setiap inci tubuhku, menimbulkan resah dan tidak selesa. Sabarkah engkau dengan kelemahanku ini?
  3. Semasa mengandung, upayaku untuk melayan keperluan batinmu tidak seperti biasa. Aku lemah, sering juga hambar tiada penariknya. Sehebat-hebat mujahadahku, diri ini amat terbatas dalam upaya berperanan sebagai isterimu. Masihkah aku buah hatimu?
  4. Semasa kita mula berumahtangga, pasti hidup kita indah bagai di Syurga. Tambah pula dengan kurniaan cahaya mata pertama. Namun ketika cahaya mata bertambah bilang, kerjaya kita semakin berkembang. Pendapatan bertambah, tanggungan dan beban juga bertambah. Dalam suasana yang banyak tekanan di rumahtangga kita, apakah engkau masih mampu ceria? Sabar dengan kerenah anak-anak dan ibu mereka, terus tersenyum menawarkan bahagia?
  5. Selepas beberapa tahun berumahtangga, aku belum merahimkan cahaya mata impian kita, saudara mara dan teman memperlimu dan menuduh engkau bukan seorang jantan. Sedangkan aku punca sepimu tanpa zuriat. Di kala engkau diasak keluarga dan teman, masihkah aku ada tempat di lubuk cintamu?
  6. Andai selepas beberapa tahun berumahtangga, aku diputuskan pemeriksaan perubatan bahawa diri ini mandul dan tidak mampu merahimkan cahaya mata impian kita, apakah aku masih kekasih hatimu?
  7. Jika aku ditakdirkan Allah diuji dengan barah payu dara, terpaksa mengorbankan salah satu atau keduanya, kimoterapi meluruhkan rambutku yang pernah menjadi pujianmu, tubuh lemahku menumpang kasih dalam pelukanmu, berak kencingku di dalam kain batik yang pernah kauhadiahkan kepadaku, masihkah engkau mencintaiku?

SOALAN LELAKI KEPADA PASANGANNYA:

  1. Keceriaanku mungkin pudar oleh tekanan kerja dan kehidupan. Aku cenderung untuk diam dan senyumanku mungkin kurang manis dan indahnya. Diri ini yang pada masa ini suka bergurau senda, ketika itu pulang dengan kerut dahi, kurang sense of humor, dan hanya bercakap benda-benda besar yang serius. Sabarkah engkau dengan perubahanku itu nanti? Kuatkah cintamu kepadaku?
  2. Tekanan hidup mungkin menyebabkan perananku sebagai suami kepadamu terjejas. Upayaku untuk memberi nafkah batin kepadamu terganggu dan untuk menyuarakannya kepadamu aku terasa malu. Masalah mati pucuk yang sering menimpa lelaki yang tertekan dengan pekerjaan dan kehidupan menggugat kepuasan dirimu sebagai isteriku. Sabarkah engkau dengan keadaan itu, dan apa rancanganmu untuk kita menempuh saat-saat itu? Terjejaskah cinta kita di hatimu?
  3. Andai kerjayaku dirempuh badai dan surut seketika, kewanganku dan keluarga kita jauh dari mencapai sempurna keperluan. Keluarga dan teman mencemuhmu kerana ‘menanggung’ aku sebagai seorang suami yang dilabel dayus. Aku akan berusaha agar ia hanya seketika, namun sabarkah engkau menempuhnya? Masihkah aku kekasih hatimu?
  4. Aku menjadi seorang lelaki yang menjemukan. Aku mengharapkan dirimu sebagai insan yang akan membantu menceriakan aku, namun sabarkah engkau dengan diriku dan mampukah cinta kita di hatimu terus membenih bahagia?
  5. Jika kerjayaku berkembang di luar jangkaan kita, engkau terpaksa berkongsi diriku dengan massa, dan aku terpaksa selalu ke sini sana untuk bekerja. sabarkah engkau dengan suasana itu, dan aku masih cinta hatimu?
  6. Jika aku disahkan doktor tidak mampu memberikan kita zuriat, rumahtangga kita sunyi tanpa cahaya mata, apakah engkau masih sudi menemaniku dalam bahtera rumahtangga kita?
  7. Sekiranya rumahtangga kita teruji apabila aku ditimpa kemalangan atau stroke yang melumpuhkan pergerakan fizikal serta upayaku sebagai suami, kencing berakku yang bertubuh berat ini di dalam kain pelekat yang pernah kauhadiahkan kepadaku, apakah ia menggugat cinta kita dan mampukah engkau terus hidup di sisiku yang hanya suamimu dengan status suami tanpa mampu melaksanakan banyak tanggungjawabku sebagai suami?

Seorang suami dan seorang isteri, akan berusaha dan berdoa agar tidak teruji dengan situasi sedemikan rupa. Memohon kepada Allah agar tidak dibebankan dengan ujian yang di luar upaya diri.

2_286

“…Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya” [al-Baqarah 2: 286]

Namun, menyedari bahawa kehidupan berumahtangga itu adalah lanjutan peringkat kehidupan, bukan melangkah ke mimpi yang jauh dari realiti alam nyata, pastikan langkah kaki tidak bermula, sebelum telah jelas gambaran akhir di minda.

Sesungguhnya saya senaraikan 14 soalan, separuh untuk bakal suami dan separuh untuk bakal isteri, bukanlah soalan yang direka-reka tanpa asas. Mengendalikan sesi perkongsian di antara teman-teman dan peserta program, bertukar-tukar pandangan serta nasihat dari golongan yang lebih berusia, mengumpulkan hal-hal ini untuk direnung oleh kita semua.

Ketika dibius cinta, kita menafikan segalanya. Bahawa cinta dan rumahtangga kita indah semuanya. Tidak akan diuji sedemikian rupa. Sebagaimana semasa melihat kematian, kita sering melihat kematian itu kematian orang lain, tanpa pernah meletakkan diri di ketentuan itu. Biar pun mati itu pasti, kita yakin ia bukan giliran kita. Masih punya masa, masih punya ketika.

Tidak membuat persediaan, itulah kematian sebelum mati.

Membiarkan diri dibius cinta, itulah racun pemusnah cinta, apabila cinta realiti, diterbangkan ke langit impian, hingga kaki tak jejak bumi, tangan gagal menggapai awan.

Sebelum anda dibius cinta… soallah diri sejauh mana anda bersedia?

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG, SELANGOR

read more "Sebelum dibius Cinta"

kali kedua yang merungsingkan


Alhamdulillah pagi jumaat ini,halaqah riyadhus solihin(HARIS) baru selesai dgn baik..seperti biasa lepas subuh jemaah di masjid akan diadakan halaqah untuk muslimeen yang dihadiri kebanyakan rakan-rakan sunnah UIA yang lain..

pagi ini baru habis hadis daripada hadis fadhilat wudu' dibincangkan. hanya Tuhan saja yang tahu betapa kena mujahadahnya nak boleh datang masjid ini. Alhamdulillah mentor halaqah, ust Rosli syarah hadis dengan baik tadi. Lepas halaqah,seperti biasa kami berkunjung ke gerai makan untuk bersarapan.

khabarnya malam ini(13/2) akan diadakan Mabit di masjid. Entahla si Masri tu ambil nama seperti mabit di Mina masa musim haji. syukur kepada yang Maha Esa kerana memberi peluang kepada kami untuk melakukan qiamullai bersama.satu latihan yang baik untuk MASA DEPAN.

Buat pembaca sekalian, sebenarnya tajuk pada kolum kali ini tiada kaitan dengan yang diatas ini.hehe. sebenarnya saya ingin menyentuh mengenai kelas Bahasa Arab yang saya ikuti. Kenapa "kali kedua yang merungsingkan"?

Ini disebabkan saya akan meniggalkan kelas untuk kedua kalinya. Tak sanggup saya berpisah dgn'nya'. Tapi apakan daya, terpaksa katakan kerana ada komitmen lain. seingat saya selama 2 tahun saya ikuti kelas ini belum pernah 2 kali berturut-turut kena ponteng.sedihnya...pada kelas lepas, saya terpaksa ke Kuantan kerana mengetuai rombongan alumni sekolah buat ziarah ke UIA Kuantan. dan pada esok hari(14/2) terpaksa mengikuti kursus praperkahwinan. Sebab saya dah bayar,terpaksa ikut juga la.

Mengapa saya begitu berat meniggalkan kelas?ini disebabkan cinta saya kepada bahasa arab semakin membuak-buak, mengalahkan cinta lain buat masa ini.hehe. Bunyi macam hebatkan,takde la sampai macam itu. Tapi begitulah,walaupun semakin lama,semakin susah tatabahasanya,tapi ia membuatkan saya ingin lebih mengenali "kekasih" saya ini. Bila tegok contoh-contoh dalam al-Quran, lagi saya asyik dengannya. Betullah jika dikatakan kita WAJIB ikhtiar untuk mempelajari bahasa ini untuk memahami al-Quran(tapi tak cukup sekadar bahasa,banyak lagi ulumul Quran). nak tengok "kekasih" saya? sini saya sertakan:

baru-baru ini saya telah menukar kulit kitab itu.kenapa? sebab saya semakin sayanglah pada kitab tersebut..tak sanggup kehilangannya. betullah kata pepatah "semakin hari semakin sayang". nak kaitkan dengan hubungan rumahtangga. "semakin hari semakin sayang" perlu diterapkan sebagaimana sayangnya saya pada kitab arab itu. Kan ada kaitan saya dan kursus tadi. Entahlah DIA sahaja yang tahu. Hubungan suami isteri perlulah sebagaimana dicontohkan oleh Baginda SAW dimana ingatannya pada Khadijah r.a hingga khadijah sudah tiada,tapi masih sayangkan isterinya itu. Siapa Khadijah ketika Nabi SAW lemah,kurang semangat dan semacamnya? kasihnya bukan kerana kecantikan,harta benda mahupun keturunan. Tapi kerana akhlaq agama Khadijahlah membuatkan Nabi Saw sayang. Maka,beruntunglah orang yang memilih agama!!
Disini ada sedikit tip mencari calon pasangan:

http://www.youtube.com/watch?v=ydAUnWgDAK4
read more "kali kedua yang merungsingkan"

Muqaddimah

Alhamdulillah, syukur kita kepada Allah SWT kerana diberikan nikmat yang tidak terkira banyaknya, walau ditulis dengan selautan dakwat pena,takkan habis ditulis nikmat-nikmatNYa. Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW,seorang manusia yang terpilih daripada sekalian manusia yang ada di atas muka bumi Allah SWT ini serta keluarga baginda dan tidak lupa kepada sahabat-sahabat baginda yang sentiasa berkorban jiwa dan raga mereka untuk Islam.

Buat pertama kalinya, penulis merasakan perlunya penulis membuat muqaddimah kepada penulisan blog ini. Ok sebelum itu, penulis akan memperkenalkan diri penulis terlebih dahulu. Dalam blog ini, penulis memperkenalkan diri penulis sebagai abu Muawiyah. Itulah nama pena yang digunakan. Adapun nama sebenar penulis ialah Abdul Qayyum Hadi Bin Mat Husin. Penulis dilahirkan di dunia ini daripada perut seorang perempuan yang terpilih pada tahun 1986 iaitu tarikhnya pada 4hb Julai. Bukanlah di hospital penulis dilahirkan tetapi hanya di sebuah rumah tua di Kampung Jelawat daerah Bachok di negeri bertuah,Kelantan Darul Naim. Jika ditinjau dari segi keluarga, penulis bukanlah berasal dari keluarga yang berada, cuma sederhana. Bilangan adik beradik penulis hanya 11 orang je. Penulis merupakan anak yang keempat. Jika nak ditulis nama-nama mereka, nanti berjela-jela pula. Penulis merasakan diri penulis agak terlambat untuk menulis blog tetapi cuba-cuba beranikan diri. Harap semua pembaca dapat menerima diri penulis seadanya.

Selanjutnya, mungkin ada dikalangan pembaca agak tertanya-tanya mengapa dinisbahkan “abu muawiyah” dengan diri penulis. Baiklah, nanti penulis akan menceritakan serba sedikit mengapa penggunaan kuniyah(gelaran “abu”) tersebut digunakan. Abu adalah satu perkataan arab yang bermaksud “bapa” atau “ayah”. Jadi abu muawiyah bermaksud= ayah kepada muawiyah. Adakah penulis sudah mempunyai anak? Jawapannya adalah belum kerana penulis belum pun mempunyai isteri lagi. Penggunaan kuniyah adalah bukan tradisi orang melayu tetapi peggunaan dalam budaya arab. Untuk informasi tambahan, bolehlah dirujuk:

http://ahmad-allibi.blog.friendster.com/2008/09/kunyah-abu-bla-bla-ummu-bla-bla/

Siapakah sebenarnya “muawiyah” yang dipilih oleh penulis dalam nama pena penulis ini. sebenarnya penulis amat terkesan dengan fitnah yang dilemparkan oleh musuh dalam selimut Islam iaitu Syiah Imamiyah yang sangat menghina Saidina Muawiyah,jurutulis wahyu Nabi Muhammad SAW. Macam-macam tuduhan dilemparkan kepadanya serta keluarganya. Mungkin untuk membersihkan kembali namanya, penulis berazam untuk memberikan nama anak penulis sebagai Muawiyah kelak.InsyaAllah. disini penulis memberi link untuk pembaca mengetahui mengenai Saaidina Muawiyah:

http://darulkautsar.com/article.php?ArticleID=193

Mungkin tiada info yang menarik buat permulaan ini. Tetapi sekadar untuk memanaskan enjin sahaja. Maaf jika ada tersilap bahasa dan kekurangan idea. InsyaAllah akan dibaiki sedikit demi sedikit. Wassalam

read more "Muqaddimah"