Mengharap Secebis Kasih-Nya

Istiqamah di Atas Manhaj Nabi SAW dan Sahabat r.hum

Kesalahan-Kesalahan Dalam Memberi Nama

Saringan oleh www.darulkautsar.net dari kuliah Sahih Muslim- Kitab Adab oleh Maulana Muhammad `Asri bin Yusoff

Kejahilan masyarakat dan kelalaian Ulama’ adalah di antara faktor mengapa berlakunya kesalahan (bertentangan dengan kehendak syariat) dalam memberi nama kepada anak-anak yang baru lahir. Adalah amat menyedihkan perkara ini tidak begitu dipedulikan seolah-olah kesalahan tersebut tidak begitu penting walhal Nabi s.a.w. amat menitikberatkan hal ini dengan mengubah nama sahabat-sahabat yang tidak elok atau tidak sesuai. Di antara kesalahan dalam memberi nama yang dikenalpasti di kalangan masyarakat Melayu di Malaysia adalah:

1. Nama-nama yang memberi makna yang tidak elok. Nabi s.a.w. pernah menukar nama sahabatnya Zaham (yang bermaksud ‘menyibuk, mengganggu’) kepada Basyir (yang bermaksud ‘berita gembira’). Di antara contoh nama yang sering digunakan :

  • Hazan (Kesedihan), Hazin (Seorang lelaki yang sedih), Hazaniyyah (Hidup penuh dengan kesedihan)
  • Zani (Lelaki penzina), Zaniah (Penzina perempuan)
  • `Asiah (Perempuan penderhaka / Perempuan pembuat Maksiat)
  • Wati (Persetubuhan)
  • Azli (Celaanku), Azlan (Celaan)

2. Nama-nama Allah (sifat Tuhan), contohnya:

  • Azali
  • Muhaimin

3. Nama-nama yang berkaitan dengan tempat, contohnya:

  • Suyuti (Orang Asyut)
  • Bukhari (Orang Bukhara)
  • Ghazali (Orang Ghazal)
  • Nawawi (Orang Nawa)
  • Misri atau Masri (Orang Mesir)
  • Baihaqi (Orang Baihaq)
  • Tirmizi (Orang Tirmiz)

4. Nama-nama yang memberi makna terlalu elok sehingga tidak sesuai diletakkan pada empunya nama seperti Khairunnisa` (sebaik-baik wanita) sedangkan dalam hadits ada menyebutkan: “Sebaik-baik wanita di alam ini adalah Asiah dan Maryam.” Selain itu nama ini juga seakan berlawanan dengan hadits.

5. Nama-nama yang dilarang dalam hadits seperti Yasar, Robah, Aflah, Najah dan lain-lain kerana ada sempena baik pada suatu nama. Sebagai contoh Najah (Kejayaan). Apabila ada orang bertanya: “Najah ada tak disini?” Maka dijawab: “Najah tiada disini,” secara tidak langsung memberi maksud kejayaan tiada di sini.

6. Nama yang mengangkat diri sendiri kerana Nabi s.a.w. sendiri ada menukarkan nama Barrah (yang bermaksud ‘yang sangat baik’) kepada Zainab

7. Nama yang mengandungi unsur-unsur syirik seperti:

  • Abdul Manaf (Hamba berhala Manaf)
  • Ghulam `Ali (Hamba `Ali)

8. Nama yang sepatutnya untuk lelaki tetapi digunakan pada perempuan, seperti Nur (cahaya) dalam bahasa Arab adalah muzakkar (untuk lelaki)

9. Nama dengan makna yang tidak tepat dengan pemakainya seperti:

  • Siti (Puan) sedangkan gelaran ‘Puan’ hanya digunakan pada orang yang sudah berkahwin dan begitu juga dengan Anisah (Cik) pula hanya digunakan untuk wanita yang belum berkahwin sebagaimana yang digunakan di tanah Arab pada masa ini.
  • Sayyid (Tuan) digunakan oleh orang `Arab pada sesiapa sahaja asalkan dia lelaki dan ini tidak bermakna dia adalah dari keturunan Nabi s.a.w.

10. Nama yang sebenarnya adalah nama sesuatu pekerjaan dalam bahasa Arab, contohnya:

  • Masyitah (Tukang sikat rambut) digunakan pada mana-mana perempuan yang bekerja sebagai penyikat rambut
  • Halwani (Lelaki penjual kueh) digunakan pada mana-mana lelaki yang menjual kueh-mueh tetapi digunakan untuk perempuan di Malaysia.

11. Nama yang tidak betul seperti nama asalnya, seperti:

  • Zaleha – sepatutnya Zulaikha

12. Nama yang dihubungkan pada kisah yang tidak dipastikan kebenarannya, seperti:

  • ‘Zulaikha’ yang kononnya menjadi simbolik percintaan dan kasih sayang yang kekal berpanjangan bersama Nabi Yusuf yang terkenal dengan ketampanannya. Dipendekkan cerita kononnya Zulaikha bertemu semula dengan Nabi Yusuf setelah beliau sudah tua dan buta matanya. Oleh kerana cintanya begitu mendalam pada Nabi Yusuf akhirnya Nabi Yusuf menerimanya sebagai isteri. Kemudian Zulaikha kembali menjadi muda dan dapat melihat seperti sediakala. Inilah kekarutan yang direka-reka dan kemudiannya turut memberi kesan kepada masyarakat Islam sehingga menamakan anak-anak dengan nama Zulaikha dan menjadikannya sebagai doa dalam kad-kad perkahwinan.
  • Muti`ah kononnya adalah wanita pertama yang masuk syurga sebelum Fatimah al-Zahra` lagi. Dikatakan bahawa beliau adalah seorang wanita yang paling solehah kerana sangat baik dalam melayani dan berkhidmat pada suaminya.

13. Nama yang memberi makna sifat, seperti:

  • Muti`ah (yang taat)

14. Nama yang tidak memberi apa-apa makna, lebih buruk lagi jika apabila dipendekkan memberikan makna yang tidak elok seperti:

  • Ezani – dipendekkan menjadi: Zani (lelaki penzina)

15. Nama yang terpengaruh dengan budaya barat, contohnya:

  • Isaac – asalnya Ishak (Nama Nabi)
  • Harry – asalnya Khairi (Kebaikanku)

16. Nama yang memberikan makna yang tidak jelas atau lucu dalam bahasa Arab, contohnya:

  • Syamsul Bahri (matahari lautan)
  • Badrul Hisyam (bulan yang pecah-pecah)
  • Nik (kemaluan perempuan atau mentah, tidak matang)
  • Rafidhi (Syiah pelampau)
  • Atan (keldai betina)
  • Haikal (rumah berhala, kerangka, lembaga)
  • Jamalullail (keindahan malam)

Nota: Sekiranya sesuatu nama memberikan beberapa makna termasuk yang baik dan buruk maka harus menggunakannya kerana ini ada dilakukan oleh Nabi s.a.w. sendiri, contohnya:

  • Zainab - makna baik : nama bagi sejenis pokok yang wangi

- makna buruk : pengecut

  • Mu`awiyah - makna baik : pembela / pejuang

- makna buruk : yang menyalak

17. Nama yang mempunyai ‘ni’ dihujungnya seperti ‘Halwani’ yang sering digunakan pada orang perempuan masyarakat Melayu yang sebenarnya bermaksud ‘lelaki penjual kueh’.

Nota: Nama-nama bukan dari bahasa Arab yang elok maknanya juga harus dipakai seperti:

  • Fairuz
  • Sirin (manis –bahasa Farsi)
  • Rustam
  • Sarfaraz (mulia)
  • Sibawaih (wangian epal)

18. Nama-nama yang membawa maksud yang buruk atau langsung tidak memberikan apa-apa makna kerana salah sebutan atau ejaannya seperti:

  • Sukri (kemabukanku) – sepatutnya Syukri (Kesyukuranku)
  • Sya`ari (buluku) – sepatutnya Asy`ari
  • Nordin (tiada makna) – sepatutnya Nuruddin (cahaya agama)
  • Kadir (keruh) – sepatutnya `Abdul Qadir (Hamba kepada yang Maha Berkuasa)
  • Jamaluddin (Unta agama) – sebetulnya Jamaaluddin جمال الدين(kecantikan agama) ya`ni sebutan yang panjang pada ‘maal’

19. Gabungan yang salah atau tidak kena pada tempatnya seperti ‘Nurhafizah’ tidak memberi apa-apa maksud kerana gabungan ini salah dari segi kaedah bahasa Arab, dan contoh gabungan yang betul: Nurhayati (cahaya hidupku), Nur`aini (cahaya mataku)

Nota: Harus menamakan dengan nama-nama bintang, burung atau bunga seperti Surayya, Aktar (tuah atau bintang dalam bahasa Farsi) dan lain-lain

20. Nama yang salah kerana tidak membezakan penggunaan ya mutakallim dengan ya nisbah.

Ya mutakallim adalah ‘ya’ pada akhir kata nama yang memberi makna ‘sesuatu milikku’ atau ‘daripadaku’ seperti:

  • Syukri (Kesyukuranku)
  • Fathi (Kemenanganku)

Ya nisbah pula ada ‘ya’ pada akhir kata nama yang memberi makna nisbah atau hubungan pada tempat, pekerjaan dan sebagainya. Contohnya:

  • Imam Jalaluddin as-Suyuti yang bermaksud: Imam Jalaluddin orang asyut
  • Imam Muhammad bin Isma`il al-Bukhari yang bermaksud: Imam Muhammad bin Isma`il orang Bukhara
  • Muhammad Asri yang bermakna ‘Muhammad tawananku’, ini kerana sebenarnya ini adalah ya mutakallim dan bukan ya nisbah. Nama yang betul ialah Muhammad ‘Asri

Nota:

Seelok-eloknya sesuatu nama hendaklah dipastikan betul ejaan ruminya kerana nama juga adalah merupakan doa kepada pemiliknya, sekiranya salah sebutannya maka berlainan pula maksudnya, contohnya:

نعيمة bermaksud yang bahagia, yang lembut, yang mulia tetapi apabila dieja mengikut ejaan rumi maka ia menjadi Naimah نائمة bermaksud yang tidur.

Selain itu terdapat ilmu yang dinamakan Ilmu Raksi yang mempunyai kaedah untuk mentafsir sifat seseorang berdasarkan namanya, ilmu ini juga pernah disebutkan oleh Ibnu Khaldun dalam bab jenis-jenis ilmu.

Nota: Kita mungkin boleh mengelakkan kesalahan seperti ini dengan:

  • Membenarkan ejaan mengikut bahasa yang berkenaan seperti jawi, Arab dan lain-lain dalam kad pengenalan atau surat beranak supaya dapat disebut dengan betul mengikut kehendak penama tersebut.

Jabatan Pendaftaran membenarkan penama yang ingin menukar nama yang tidak sesuai kepada nama yang menepati syariat.

  • Undang-undang diwujudkan bagi mewajibkan pendaftar nama mengikut kaedah yang betul supaya tidak tersalah dalam memberi nama.

Nota: Harus menggunakan nama gabungan dari ibu atau anak dan ayah sekiranya membawa makna yang elok, seperti nama seorang ulama`:

  • Ihsan Ilahi Zahir – Ayahnya bernama Zahir (pembela, penyokong) bermakna ihsan Tuhanku nyata.

  • Fadhal Ilahi Zahir – bermaksud kurniaan Tuhanku nyata.

21. Tidak boleh menggunakan nama ‘Malikul Muluk’ atau ‘Malikul Malak’ kerana ada larangan dalam hadits dan terdapat penggunaannya dalam al-Quran, firman Allah s.w.t:

لِمَنِ الْمُلْكُ الْيَوْمَ لِلَّهِ الْوَاحِدِ الْقَهَّارِ


(Pada saat itu Allah berfirman): "Siapakah Yang Menguasai kerajaan pada hari ini? (Allah sendiri menjawab): "Dikuasai oleh Allah Yang Maha Esa, lagi Yang mengatasi kekuasaanya segala-galanya! [ Al-Ghafir :16 ]

dan ayat:

هُوَ اللَّهُ الَّذِي لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْمَلِكُ الْقُدُّوسُ السَّلَامُ الْمُؤْمِنُ الْمُهَيْمِنُ الْعَزِيزُ الْجَبَّارُ الْمُتَكَبِّرُ سُبْحَانَ اللَّهِ عَمَّا يُشْرِكُونَ


Dia lah Allah, Yang tidak ada Tuhan melainkan dia; Yang Menguasai (sekalian alam); Yang Maha Suci; Yang Maha Selamat sejahtera (dari Segala kekurangan); Yang Maha melimpahkan Keamanan; Yang Maha pengawal serta Pengawas; Yang Maha Kuasa; Yang Maha kuat (menundukkan segala-galanya); Yang Melengkapi Segala KebesaranNya. Maha suci Allah dari Segala Yang mereka sekutukan dengannya. [ Al-Hasyr: 23 ]

22. Tidak boleh menggunakan nama yang merupakan gelaran yang khusus kepada seseorang Nabi sebagai mukjizatnya, seperti:

  • Ruhullah (Roh daripada Allah) – gelaran khusus yang diberikan kepada Nabi Isa a.s kerana Nabi Isa dilahirkan tanpa ayah dengan kuasa Allah

  • Khalilullah (Kekasih Allah) / Khalilurrahman (Kekasih kepada yang Maha Pengasih) – gelaran khusus yang diberikan kepada Nabi Ibrahim a.s

Selain itu nama-nama ini juga membawa maksud yang sangat tinggi dan keterlaluan untuk dipakai pada orang yang biasa selain bercanggah dengan hadits dan terdapat larangan yang terang berkaitannya.

utk maklumat lanjut: http://www.youtube.com/watch?v=cTqdEXsedj8


read more "Kesalahan-Kesalahan Dalam Memberi Nama"

Siapa Pembunuh Saidina Hussein?






Adakah kita nak biarkan mereka memperbodohkan kita sahaja?
read more "Siapa Pembunuh Saidina Hussein?"

Penambahbaikan sambut Maulud

Oleh ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM

SAMBUTAN Maulidur Rasul yang diadakan pada setiap tahun oleh umat Islam sedunia merupakan satu manifestasi rasa cinta yang mendalam kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW.

Keunikan rasa cinta ini dapat dilihat hampir di kebanyakan negara Islam pada tanggal 12 Rabiulawal setiap tahun. Bagaimanapun tarikh kelahiran yang masyhur diguna pakai itu masih dibeza-bezakan oleh para ulama sejarah Islam. Sesetengah ahli sejarah berpendapat lebih tepat jika dikatakan baginda Rasulullah SAW dilahirkan pada 9 Rabiulawal, Tahun Gajah, hari Isnin dan bersamaan dengan 20 atau 22 April 571 Masihi (al-Rahiq al-Makhtum, hal. 71).

Walaupun begitu, bukan tarikh kelahiran baginda yang perlu diberikan perhatian yang mendalam oleh umat Islam, akan tetapi bagaimanakah sikap kita terhadap ajaran baginda SAW.

Tradisi menyambut kelahiran nabi Muhammad SAW atau Maulidur Rasul kadangkala memerlukan reformasi dari semasa ke semasa demi menyerlahkan lagi peranan baginda SAW sebagai pembimbing umat manusia.

Di samping mengisytiharkan cuti umum, mengadakan perarakan, menobatkan tokoh Maulidur Rasul dan sebagainya, perkara-perkara yang boleh dicadangkan kepada pihak kerajaan atau Jakim untuk menyemarakkan lagi sambutan tahunan Maulidur Rasul ialah:

1 - Menobatkan Tokoh Sunnah Kebangsaan yang bergiat aktif memartabatkan serta menyebarkan hadis Nabi SAW. Sumbangan para ulama yang bergiat dalam pengajian hadis yang merupakan sumber rujukan kedua selepas al-Quran seharusnya diiktiraf di peringkat kebangsaan sebagai pemangkin untuk umat Islam yang lain menghayati sunnah baginda SAW.

Tanpa ilmu hadis yang memainkan peranan sebagai lembaga penapis kepada sabda Rasulullah SAW, umat Islam akan berterusan bergelumang dengan fakta-fakta serta hadis-hadis yang tidak sahih dan kadang kala boleh mencemar nama Islam itu sendiri.

2 - Melancarkan kempen Bulan Sunnah Nabi SAW Peringkat Kebangsaan sebagai langkah memantapkan lagi penghayatan umat Islam di Malaysia terhadap kepentingan sunnah baginda SAW.

Kempen secara agresif boleh dilakukan untuk memperkenalkan sunnah-sunnah baginda SAW yang merangkumi segala aspek kehidupan dan mengutamakan sunnah-sunnah yang sering diabaikan oleh umat Islam seperti kepentingan menjaga kebersihan, kepentingan menjaga akhlak dan sebagainya.

Kempen ini boleh dijalankan sepanjang bulan kelahiran Nabi SAW atau sepanjang tahun dengan bantuan media elektronik dan juga media cetak.

3 - Memperkenal disiplin ilmu Mustolah Hadis secara ringkas dan padat kepada umat Islam bagi menyedarkan mereka tentang disiplin yang perlu dimiliki ketika berinteraksi dengan hadis Nabi SAW. Langkah ini mampu melahirkan umat Islam yang celik sunnah dan pada masa yang sama membendung penyebaran hadis-hadis palsu yang telah mencemar nama Rasulullah SAW semenjak sekian lama.

4 - Menggiatkan usaha mempertahankan Sunnah Nabi SAW daripada serangan musuh-musuh Islam dan golongan yang jahil. Langkah mempertahankan kesucian hadis atau sunnah Nabi boleh dilakukan dengan menjawab segala tohmahan yang ditujukan terhadap sunnah dan hadis Nabi SAW.

5 - Mewujudkan segmen Sirah Rasulullah SAW secara ringkas di waktu perdana di televisyen utama Malaysia sebagai langkah memperkenalkan baginda Rasulullah SAW secara lebih mendalam kepada semua. Langkah ini boleh menjadi serampang dua mata selaku penyubur rasa cinta kepada baginda SAW untuk orang Islam dan aspek dakwah kepada golongan bukan Islam. Kalau perlu segmen ini diperuntukkan setiap hari dalam seminggu dengan mengundang penceramah yang berwibawa dan akademik.

Segmen yang ringkas, padat, konsisten setiap hari dan penuh dengan maklumat berkaitan kisah hidup dan perjuangan baginda SAW pastinya ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam. Baginda SAW bersabda: Sesungguhnya amalan yang paling dicintai oleh Allah ialah yang berterusan walaupun sedikit (Sahih al-Bukhari).

Sekiranya segala cadangan ini dilaksanakan oleh pihak kerajaan, wajah sambutan Maulidur Rasul di Malaysia akan lebih bermakna dan gemilang serta tidak hanya terhenti atau kaku pada tradisi sambutan selama sehari sahaja.

Sambutan yang lebih ilmiah dan berpanjangan akan benar-benar menyatukan roh atau semangat perjuangan baginda SAW dengan setiap anggota masyarakat umat Islam di Malaysia.

Selain itu, usaha ini juga mampu melahirkan golongan umat Islam yang benar-benar celik agama dan celik sunnah Nabi SAW. Bukanlah perarakan, slogan, tokoh dan persembahan sambutan Maulidur Rasul yang sepatutnya menjadi tumpuan, sebaliknya bagaimanakah caranya kita mengamalkan ajaran peninggalan baginda secara berterusan sepanjang hayat.

Bahkan segala kemudahan teknologi yang ada di zaman sekarang ini, seharusnya digunakan dengan lebih menyeluruh untuk menyemarakkan lagi penghayatan terhadap Sunnah Nabi SAW. Janganlah kita hanya mengurung Sunnah dan hadis Nabi SAW di dalam penjara-penjara ilmu di pondok-pondok agama atau menara gading sahaja, sebalikya bebaskanlah peranan sebenar baginda SAW kepada semua lapisan masyarakat Islam dan bukan Islam. Renungkanlah firman Allah:

Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku (ikutilah sunnahku), nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Katakanlah (wahai Muhammad): "Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir (Ali 'Imran[3:31-32]).

Dan firman Allah lagi: Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (SAW) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya). (al-Hasyr [59:7]).

Penulis ialah Pensyarah Jabatan Tilawah al-Quran, Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0129&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm
read more "Penambahbaikan sambut Maulud"