Mengharap Secebis Kasih-Nya

Istiqamah di Atas Manhaj Nabi SAW dan Sahabat r.hum

[sambungan] Di Sini Kami Belajar

Sejak setahun dulu, ramai yang kurang yakin aku dapat melayari bahtera kehidupan dengan elok dan akan mengharapkan pertolongan orang tua sahaja. Aku bulatkan tekad sejak dari hari aku melafazkan “aku terima nikahnya….” hinggalah sekarang bahawa aku berusaha untuk tidak meminta bantuan dari orang tua terutama dari segi ekonomi. Aku hanya akan bergantung padaNYA sahaja diiringi dengan usaha yang jitu. Aku bukan bersikap takabbur,tapi sebagai membuktikan bahawa perkahwinan bukan dinilai pada faktor usia,tetapi kematangan yang ada.

“dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka daripada limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha mengetahui.”

(An-Nur: 32)

Sebuah perjuangan tidak dihampar dengan permaidani merah, jadi ia memerlukan pengorbanan yang berterusan bagi memastikan misi dan visi tercapai. Dengan berbekalkan kudrat yang ada, kami tempuhi bersama-sama.

Hempedu pertama dirasai

Ujian pertama seingat aku selepas kahwin adalah bilamana aku disyaki terkena jangkitan deman denggi. Maha Suci Allah, aku tidak tahu bagaimana untuk gambarkan peritnya dugaan itu. Seumur hidup aku, belum pernah aku dijangkiti demam denggi dan tempohnya agak lama iaitu seminggu aku di atas katil. Pada masa itu, seluruh dunia heboh mengenai penyakit H1N1 akibat selsema babi.

Dengan kehidupan baru bersama isteri, aku sudah ditimpa dengan ujian tersebut. Mungkin Allah SWT ingin memperlihatkan padaku bahawa isteri yang aku nikahi pada sebulan sebelum tragedi itu adalah betul-betul menjadi seorang ‘isteri’. Mungkin Allah SWT telah campakkan perasaan belas kasihan yang lebih kepada kaum Hawa berbanding kaum Adam.

Apa tidaknya, seingat aku siang malam si isteri inilah yang menjaga aku. Walaupun aku sakit macam tak sedar, tapi sebenarnya aku melihat kelakuan si isteri ini. Tangannya tidak berhenti mengelap seluruh badan sambil menangis-nangis bimbang akan kesihatan si suami. Ada sekali aku bertanya padanya “dah pukul berapa?” Dia jawab pukul 3 pagi sambil mengelap badan dengan air asam jawa.

Begitulah hari-hari, sehinggalah dia diberi warning letter kerana tak hadir kelas. Aku dah beritahu supaya pergi ke kelas, tetapi dia tak boleh tenang dalam kelas.

Satu lagi, kerenah orang yang sakit ini pun boleh tahan juga. Aku pun tak tahu macam mana perangai begitu boleh timbul. Macam-macam yang diminta. Selama seminggu aku berulang alik dari hospital Selayang hinggakan ke hospital orang asli Gombak pun aku pergi. Dan masa itu aku belum memiliki kereta lagi dan tak terfikir pun nak ada kereta kerana desakan ekonomi. Dan aku memang bertekad tak mahu menyusahkan sesiapa dalam hal ini. Ummu Mua’wiyah sentiasa menemani aku. Akhirnya,segala puji bagi Allah aku diberi kesihatan kembali.

Bagi pembaca sekalian,anda tidak perlu untuk rasa cemburu dengan apa yang diperkatakan olehku mengenai wanita. Jika kalian sudah mempunyai isteri mahupun suami,hargailah mereka dan cubalah mencari-cari kebaikannya dan bukan mengorek-ngorek kesalahan yang dilakukan mereka. Aku tidak mahu menjadi seperti sesetengah penulis yang mengangkat pasangan masing-masing seolah-olah tiada pernah kesalahan yang dibuatnya. Cubalah bersyukur kelebihan yang dimiliki oleh pasangan masing-masing dan meredhai segala kekurangan yang ada. Di situ kunci kebahagian tanpa dilupakan pada ALLAH dan RasulNYA.

Berbalik pada cerita tadi, pada hari terakhir aku ke hospital, kami balik ke rumah yang tidak ada bilik itu dengan perasaan yang senang hati. Sebaik sahaja aku sampai di rumah,isteriku@Ummu Mua’wiyah terus rebahkan badannya dikatil. Aku sikit kehairanan, rupa-rupanya penyakit aku tadi terus di’sambung’ olehnya. Sekali lagi musibah tertimpa padaku dan episod baru bermula.

Kali ini, ujian ke atas aku pula untuk menjaga beliau. Aku sedaya buat juga seperti apa yang dibuat pada ku. Tetapi sungguh,tidak sama apa yang telah dia korbankan. Aku sudah cuba buat yang terbaik tetapi tidak mampu menyamainya. Di sinilah keegoan lelaki akan merudum jatuh seperti jatuhnya pasir di dalam jam pasir.

“Adakah patut kamu menyangka Bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti Yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang Yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" ketahuilah Sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).”

(al-Baqarah:214)

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Tidak sekali-kali akan menimpa Kami sesuatu pun melainkan apa Yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung Yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang Yang beriman bertawakal".

(at-Taubah: 51)

Tapi syukurlah kesakitan yang dialaminya tidak lama seperti yang ku alami. Tambahan, ramai sanak saudara yang datang menghulurkan bantuan berupa makanan, ubat, wang dan sebagainya. Dan selepas itu kehidupan berjalan seperti biasa.

0 comments: