Mengharap Secebis Kasih-Nya

Istiqamah di Atas Manhaj Nabi SAW dan Sahabat r.hum

Bab 3(Kembara Sepasang Kekasih).


Madu Yaman

Keesokan harinya, mereka mula bergerak mencari kawasan yang dikatakan menjadi tempat utama bagi pencari madu di Yaman. Sebenarnya mereka berdua sejak dari awal sudah membuat perancangan yang secukupnya untuk ke sana. Ini termasuklah menghadiri kursus usahawan madu ke Yaman. Kehadiran kali ini hanya untuk mencari ‘lubang’ yang sesuai bagi mengimport madu ke Malaysia.

Sebenarya Ziyad sudah lama berkecimpung dalam bidang perniagaan ini. Semenjak dari Matrikulasi lagi. Ziyad tidak malu untuk menjaja dari bilik ke bilik bagi melariskan perniagaannya. Pelbagai bentuk barangan yang telah Ziyad cuba untuk jual seperti kad top-up, buku, CD dan juga madu asli yang diperolehi dari kampung halamannya.

Dari sumber itulah Ziyad kumpul sedikit demi sedikit untuk perbelanjaan pernikahannya dengan Mustatirah tanpa meminta bantuan dari orang tuanya. Pada mulanya memang selepas bernikah Ziyad ingin terus memulakan secara besar-besaran perniagaan madu Yaman. Tetapi disebabkan modal yang berkurangan Ziyad memulakan secara kecil-kecilan produk pakaian yang bercirikan islamik. Untung dari perniagaan itu Ziyad simpan untuk perniagaan madu yaman. Mujurlah permintaan terhadap pakaian bercorak islamik masih tinggi dan tak pernah putus.

Teksi yang membawa mereka berdua telah melalui bandar-bandar utama di Sana’a.

“Abang, sibuknya bandar ni,tak sangka pulak ye”. Mustatirah seakan-akan tergamam seketika melihatkan suasana bandar Sana’a.

“Eh,ramai jugak orang perempuan yang memakai niqab. Oh rupanya memang hampir kesemua macam tu,jadi takde la peluang untuk orang laki nak tengok kan?”. Si isteri merasakan dirinya asing di kalangan penduduk di situ.

“Yela, zaujah kesayangan abang pun ‘tersembunyi’ jugak, tapi hanya pada namanya saja”. Ziyad cuba mengusik nama Mustatirah yang bermakna tersembunyi. Apa lagi, kening kiri Mustatirah mula terangkat bak penyanyi Ziana Zain.

“Baiklah sayangku, maafkan abang yer. Tak sangka signal telah naik.” Ziyad cuba memujuk kekasihnya itu.

“Ayang, macam mana perasaan ayang apabila melihat wanita-wanita berpakaian macam tu?Ayang tak tertarik ke nak mulakan?Lihatlah mereka menyembunyikan perhiasan hanya untuk suami dan mahram sahaja. Indahkan ayang?”.Ziyad memancing jawapan dari isterinya.

Mustatirah bermain perasaan seketika. Memang tak dapat dinafikan berat hatinya untuk menjawab soalan itu. Bukannya dia tidak tahu ada ulama’ yang mewajibkan perintah berniqab. Tambahan pula dia sudah bersuami. Hatinya tersentuh bila mengenangkan para sahabiah yang dengan mudahnya menyambut seruan Nabi apabila turunnya ayat dari Surah Al-ahzab ayat 59.

Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Tapi baginya,selama dia mengkaji pendapat-pendapat ulama’ dahulu dan sekarang, baginya pendapat yang tak mewajibkan niqab adalah lebih rajih[1]. Mungkin ianya lebih wara’ jika memakai jika kena tempatnya. Tak semua tempat diharuskan memakainya. Tapi tak mengapalah,semua ulama’ mujtahidun[2] telah mendapat bahagian ganjaran pahala masing-masing[3]. Mustatirah menghela nafas. Disedut dalam-dalam sambil mengucap,

“Alhamdulilah..ya begitu indah bang. Beruntunglah orang-orang yang terpilih. Insya-Allah Mustatirah (bersembunyi) bukan sekadar nama...Tapi dari hati dan luaran tetap tersembunyi,’’ujar Mustatirah bagaikan satu janji setelah jiwanya dapat dilunakkan. Ziyad tersenyum penuh makna.

Kali ini, perjalanan itu memakan masa setengah jam untuk sampai ke kilang HADHRAMI LITTIJARAH CO. Tetapi masih dalam kawasan Sana’a. Setelah membayar upah teksi, mereka segera menuju ke pondok pengawal kilang itu. Seorang pemuda berusia lewat 20-an menjadi pengawal di situ. Selepas memberi salam,Ziyad memulakan bicara.

“Ma akbara hazal masna’!!”[4] Tetapi pengawal itu seakan-akan tidak faham apa yang diberitahu oleh Ziyad.

“Yang,ada tak kena pada bahasa arab abang?” Ziyad menepuk bahu isterinya.

Pengawal itu cuba membalas “aisy?”[5].

“Betullah abang,dia mana faham abang cakap bahasa baku arab. Sedangkan dia guna bahasa pasar je”, Mustatirah cuba menjelaskan situasi tersebut kepada suaminya. Mustatirah dahulunya adalah junior Ziyad di Universiti dan belajar dalam bidang bahasa arab. Dia yang mengajar suaminya mahir berbahasa arab di mana suaminya mengambil pengkhususan dalam bidang lain di universiti. Jadi,dia serba sedikit tahu selok belok bahasa pasar arab ketika berkawan dengan pelajar-pelajar arab di universiti dulu. Selepas itu, hanya isterinya sahaja bercakap dengan pengawal itu dan bertanya prosedur ketika berada di kilang tersebut.

Mereka dibawa kepada seorang penyelia kilang, namanya Sayyid Mahmoud yang berumur sekitar lewat 40-an. Dia boleh berbahasa baku arab, senanglah bagi Ziyad untuk berurusan. Sebelum mereka berbincang mengenai plan pemasaran, Sayyid Mahmoud cuba menceritakan mengenai madu dan kaitan dengan Negara Yaman.

“Untuk pengatahuan kamu berdua, sejak berjuta tahun dahulu, Yaman terkenal kerana madunya yang sangat baik dan berkualiti. ‘Erathostenes’ seorang sejarawan, berkata Yaman adalah satu kawasan yang amat subur dan mempunyai tempat-tempat yang sangat sesuai untuk penghasilan madu kerana terdapat pohon ‘Sidr’ dan ‘Sumur’. Madu yang dianggap paling baik adalah yang dikeluarkan dari bunga ‘Sidr’ dan ‘Sumur’.

Penternakan lebah telah berkembang luas di lembah-lembah di Timur Yaman sebelum kedatangan Islam lagi. Buktinya dapat dilihat dari lukisan-lukisan di atas batu yang masih terdapat di kawasan itu. Antara gambar yang dapat dilihat dari lukisan ini ialah sekumpulan lebah sedang berterbangan. Dari gambar ini, dapat diterjemahkan bahawa sejak dahulu lagi, penduduk Yaman telah menternak lebah dan pada ketika itu, madu yang terhasil dinilaikan sebagai suatu yang amat berharga dan oleh kerana itulah mereka melukis gambar-gambar ini.” Sayyid Mahmoud bercerita panjang sambil pasangan itu khusyuk mendengar terutama Ziyad yang hanya boleh faham bahasa arab baku. Ternganga mulutnya, terkadang isterinya mencubit pahanya.


Sayyid Mahmoud menyambung “ Al-Hamdani seorang sejarawan arab memberitahu, lereng-lereng gunung Hinwam, satu daerah yang didiami oleh puak Ahnum (Hamdan) adalah antara kawasan bumi Allah yang terkaya dengan lebah dan madu. Seorang penternak sahaja boleh memiliki sehingga lima puluh Jibh (sarang lebah) atau lebih.

Menurut seorang sejarawan Mesir al-Maqrizi yang juga merupakan seorang pengarang beberapa perjanjian Arab mengenai penternakan lebah, menyatakan bahawa seluruh Yaman merupakan bumi lebah.

Melihatkan warnanya yang gelap, baunya yang agak lain daripada yang lain, tentulah rasanya turut berbeza. Madu Yaman lebih likat, dan pekat, tidak seperti madu negara lain dan madu campuran.

Saya hanya boleh beri perumpamaan seperti ini, anda mengunyahnya seperti gula-gula getah lembut, bukan menjilatnya! Madu Yaman tidak membuatkan tekak anda perit selepas memakannya seperti anda makan madu-madu yang lain. Ia juga tahan lebih lama, dan rasanya tidak terlalu manis. Sebagai madu yang popular dan masyhur sejak turun-temurun, ia dieksport ke merata tempat terutamanya di negara-negara Eropah dan Timur Tengah.” Penyelia itu berhenti bercakap sekejap. Mungkin kepenatan. Dia mengakhiri penjelasannya dengan sepotong hadis.

Ibn Abbas r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. telah bersabda, “Penawar itu terdapat pada tiga perkara. Bekam, meminum madu dan membakar diri dengan besi panas (dengan tujuan membunuh kuman) dan aku menegah umatku dari mulakukan pembakaran badan dengan besi panas.”[6]



[1] Pendapat kuat

[2] Ulama’ yang ada kelayakan untuk mengeluarkan fatwa dan ijtihad

[3] Boleh rujuk pandangan ulama’ dan perbahasan di tempat lain.-pen

[4] Oh besarnya kilang ini!

[5] Apa dia?

[6] HR Al-Bukhari.

0 comments: