Mengharap Secebis Kasih-Nya

Istiqamah di Atas Manhaj Nabi SAW dan Sahabat r.hum

Apabila Hari Raya Jatuh Pada Hari Jumaat

Sunan Abi Daud: Kitab Solat


بَاب إِذَا وَافَقَ يَوْمُ الْجُمُعَةِ يَوْمَ عِيدٍ

Bab Apabila Hari Raya Berbetulan Dengan Hari Jumaat

904 - حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ كَثِيرٍ أَخْبَرَنَا إِسْرَائِيلُ حَدَّثَنَا عُثْمَانُ بْنُ الْمُغِيرَةِ عَنْ إِيَاسِ بْنِ أَبِي رَمْلَةَ الشَّامِيِّ قَالَ شَهِدْتُ مُعَاوِيَةَ بْنَ أَبِي سُفْيَانَ وَهُوَ يَسْأَلُ زَيْدَ بْنَ أَرْقَمَ قَالَ أَشَهِدْتَ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِيدَيْنِ اجْتَمَعَا فِي يَوْمٍ قَالَ نَعَمْ قَالَ فَكَيْفَ صَنَعَ قَالَ صَلَّى الْعِيدَ ثُمَّ رَخَّصَ فِي الْجُمُعَةِ فَقَالَ مَنْ شَاءَ أَنْ يُصَلِّيَ فَلْيُصَلِّ

Dengan sanandnya Imam Abu Daud meriwayatkan daripada Iyaas bin Abi Ramlah as-Syaami berkata, aku menyaksikan Mu’awiyah bin Abi Sufyan ketika beliau bertanya Zaid bin Arqam dengan katanya, “adakah engkau pernah ikut serta Rasulullah SAW dua hari raya yang berkumpul pada suatu hari? Zaid menjawab “Ya, pernah”. Mu’awiyah berkata “jadi, bagaimana Nabi SAW buat? Zaid menjawab “Nabi SAW sembahyang hari raya kemudian baginda SAW memberi kelonggaran untuk solat Jumaat dengan berkata sesiapa yang mahu,dia boleh sembahyang”

905 - حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ طَرِيفٍ الْبَجَلِيُّ حَدَّثَنَا أَسْبَاطٌ عَنْ الْأَعْمَشِ عَنْ عَطَاءِ بْنِ أَبِي رَبَاحٍ قَالَ صَلَّى بِنَا ابْنُ الزُّبَيْرِ فِي يَوْمِ عِيدٍ فِي يَوْمِ جُمُعَةٍ أَوَّلَ النَّهَارِ ثُمَّ رُحْنَا إِلَى الْجُمُعَةِ فَلَمْ يَخْرُجْ إِلَيْنَا فَصَلَّيْنَا وُحْدَانًا وَكَانَ ابْنُ عَبَّاسٍ بِالطَّائِفِ فَلَمَّا قَدِمَ ذَكَرْنَا ذَلِكَ لَهُ فَقَالَ أَصَابَ السُّنَّةَ

Dengan sanandnya Imam Abu Daud meriwayatkan daripada ‘Atha bin Abi Rabah, beliau berkata “Pernah Ibn Zubair pada suatu hari raya telah menjadi imam kepada kami pada hari Jumaat di awal siang, kemudian kami pergi pula ke masjid untuk solat Jumaat tetapi dia tidak keluar kepada kami, maka kami bersembahyang masing-masing, ketika Ibnu Abbas berada di Thaif. Apabila beliau datang, kami pun menyebutkan perkara itu kepadanya terus beliau berkata “Dia(Ibnu Zubair) telah menepati sunnah”.

906 - حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ خَلَفٍ حَدَّثَنَا أَبُو عَاصِمٍ عَنْ ابْنِ جُرَيْجٍ قَالَ قَالَ عَطَاءٌ اجْتَمَعَ يَوْمُ جُمُعَةٍ وَيَوْمُ فِطْرٍ عَلَى عَهْدِ ابْنِ الزُّبَيْرِ فَقَالَ عِيدَانِ اجْتَمَعَا فِي يَوْمٍ وَاحِدٍ فَجَمَعَهُمَا جَمِيعًا فَصَلَّاهُمَا رَكْعَتَيْنِ بُكْرَةً لَمْ يَزِدْ عَلَيْهِمَا حَتَّى صَلَّى الْعَصْرَ

Dengan sanandnya Imam Abu Daud meriwayatkan daripada ‘Atha, pernah berhimpun/bertemu hari Jumaat dengan hari Fitr(raya puasa) di zaman Ibnu Zubair, maka beliau berkata “Dua hari raya telah berkumpul pada suatu hari, maka dia telah mengumpulkan kedua-duanya sekali dengan mengerjakan dua rakaat sahaja di waktu pagi, beliau tidak menambahkan apa-apa rakaat lagi lebih daripada 2 rakaat itu sehinggalah beliau bersolat ‘asar(iaitu pada petang hari itu).

907 - حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ الْمُصَفَّى وَعُمَرُ بْنُ حَفْصٍ الْوَصَّابِيُّ الْمَعْنَى قَالَا حَدَّثَنَا بَقِيَّةُ حَدَّثَنَا شُعْبَةُ عَنْ الْمُغِيرَةِ الضَّبِّيِّ عَنْ عَبْدِ الْعَزِيزِ بْنِ رُفَيْعٍ عَنْ أَبِي صَالِحٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ قَدْ اجْتَمَعَ فِي يَوْمِكُمْ هَذَا عِيدَانِ فَمَنْ شَاءَ أَجْزَأَهُ مِنْ الْجُمُعَةِ وَإِنَّا مُجَمِّعُونَ

قَالَ عُمَرُ عَنْ شُعْبَةَ

Dengan sanandnya Imam Abu Daud meriwayatkan daripada Abi Hurairah daripada Rasulillah SAW , baginda SAW bersabda “Pada hari ini telah terhimpun 2 hari raya, sesiapa yang ingin berpada dengan sembahyang hari raya ini sahaja tanpa mengerjakan sembahyang Jumaat, boleh dia lakukan begitu. “Walaubagaimanapun kami akan bersembahyang Jumaat”. ‘Umar berkata daripada Syu’bah.

Syarahan

Hadis Pertama:-

· Bagi golongan yang berpendapat bahawa tak wajib solat Jumaat yang kebetulan jatuh pada hari sama dengan hari raya, hadis inilah yang dipegang.

· Yang berlaku khilaf adalah pada Zohor; satu pendapat mengatakan Jumaat tak wajib tapi Zohor wajib. Satu pendapat lagi Jumaat dan Zohor tak wajib kerana Zohor hanya ganti pada hari Jumaat (kalaulah Zohor sebagai ganti, maka lebih-lebih lagi tak wajib kerana Jumaat pun diberi kelonggaran). Solat Jumaat adalah solat yang asal bagi pendapat golongan kedua tadi berdasarkan ayat ke 9 surah al-Jumu’ah. Tapi pendapat ini telah dibantah kerana asal solat setiap hari dengan adanya waktu Zohor,ini disokong dengan peristiwa israa’ mikraj Nabi SAW dimana Nabi SAW telah menerima kefardhuan solat 5 kali sehari,dan tiada kefardhuan waktu solat Jumaat lagi.

· Mereka berpegang sahih untuk hadis ini seperti Syaikh al-Albani dan lain-lain. Tetapi sebahagian ulama’ tidak menerima kesahihan hadis ini. Dari segi perawi:-

-Iyaas dihukum tsiqah oleh Ibnu Hibban tetapi Ibnu Munzir berkata ianya majhul dan dipersetujui oleh Yahya bin Said al-Qattan. Ibnu Hajar al-Asqalani dalam kitab Khulasah dan at-Taqrib berkata: Dia majhul. Al-Amir al-Yamani(pengarang kitab Subulussalam) berkata: Ibnu Khuzaimah menghukum sahih pada hadis ini. Syaukani berkata: Ali Ibn Madini menghukum sahih padahal pada sanadnya ada Iyaas bin Abi Ramlah yang majhul. Al-Hakim pun kata sahih, begitu juga az-Zahabi dalam kitab Talkhisnya.

· Jadi status hadis ini menjadi khilaf di kalangang ulama’.

Hadis Kedua:-

· Sanad hadis ini baik tetapi terhenti setakat Ibnu Zubair.

· Dari segi zahirnya, Ibnu Zubair dilihat tidak pergi mengerjakan solat Jumaat dan hanya berpada dengan solat Zohor di rumah. Ini dapat dilihat juga berdasarkan perbuatan para makmum yang bersolat di masjid sendiri-sendiri. Solat apa lagi kalau bukan solat Zohor. Sudah tentu bukan solat Jumaat kerana ianya dilakukan sendiri-sendiri. Bilangan paling minumun untuk solat Jumaat adalah dua orang berdasarkan satu pendapat ulama’.

Hadis Ketiga:-

· Berdasarkan hadis sahih inilah,‘Atha berpendapat jika sudah solat hari raya, maka tiada Jumaat dan Zohor dengan berpada untuk itu sahaja.

· Tetapi Ibnu Taimiyyah(pengarang kitab al-Muntaqa & datuk kepada syaikul Islam Ibnu Taimiyyah) berpandangan sebenarnya Ibnu Zubair sudah mengerjakan solat Jumaat, dan bukan solat hari raya pada pagi itu. Ini kerana sesetengah ulama mengatakan boleh solat Jumaat di pagi hari.

Hadis Keempat:-

· Berdasarkan hadis ini, Nabi SAW memberi pilihan bagi sesiapa yang ingin berpada dengan sembahyang hari raya sahaja tanpa mengerjakan sembahyang Jumaat, maka dia boleh lakukan begitu.

· Persoalannya, kepada siapa Nabi SAW tujukan pilihan itu?

-pendapat pertama: pilihan ini ditujukan kepada semua.

- pendapat kedua: pilihan ini ditujukan kepada orang datang dari tempat-tempat yang jauh berdasarkan akhir hadis dimana Nabi SAW berkata “Walaubagaimanapun kami akan bersembahyang Jumaat(kerana kami orang tempatan)”. Inilah dalil bagi golongan mengatakan solat Jumaat tetap wajib pada hari itu.

· Namun, hadis ini dipertikaikan kerana terdapat perawi yang bernama Baqiyyah yang dipertikaikan oleh Ulama’ dan hadis ini telah menjadi dhaif

· Bagi ‘Atha, beliau berpegang kewajipan solat Jumaat dan Zohor telah gugur berdasarkan amalan Ibnu Zubair. Bagi beliau, boleh saja kalau nak solat juga.

· Bagi Imam Syafie, tidak menjadi rukhsas(kelonggaran) untuk meninggalkan Jumaat atau Zohor. Kena lakukan juga salah satu kerana beliau berpegang solat Zohor adalah yang asal. Beliau mengatakan hadis-hadis dan atsar itu tidak kuat untuk mengkhususkan hadis umum tentang kewajipan kena solat Zohor atau Jumaat itu kerana sanad-sanadnya dipertikaikan.

· Imam Syafie berkata dalam kitab al-Umm: daripada Umar Abd Aziz berkata bahawa pernah dua hari raya berhimpun di zaman Rasulullah SAW. Nabi SAW bersabda “bagi orang berada jauh di pinggir Bandar tidak mengapa untuk tidak hadir”. Jadi, yang diberi kebenaran ini hanyalah untuk orang yang berada di tempat yang jauh, bukan untuk orang tempatan. Imam Syafie menyimpulkan bahawa untuk orang tempatan, kewajipan solat Jumaat tetap diperintahkan. Baginya lagi, seorang imam pada hari raya boleh memberi rukhsas kepada orang bukan tempatan sama ada untuk mereka balik kalau mereka mahu atau mahu tetap menunggu di situ

· Bagi pengarang kitab ini(Bazlul Majhud) yang mewakili mazhab Hanafi telah memetik kata-kata Maulana Muhammad Yahya daripada huraian gurunya, Maulana Rasyid Ahmad al-Gangoohi, kesimpulannya:-

-pernah berkebetulan berlaku hari raya jatuh pada hari Jumaat, bilangan jemaah pada solat hari raya itu lebih ramai di masjid Nabi SAW termasuk yang datang dari tempat yang jauh. Ini menjadi kesukaran bagi mereka untuk menunggu sehingga masuk waktu solat Jumaat.

- Lalu usai solat, maka Nabi SAW memerintah seseorang bagi memberitahu kepada orang ramai “sesiapa diantara kamu yang mahu solat, maka ia dibolehkan. Sesiapa nak balik, bolehlah balik”. Ucapan ini untuk mereka yang datang dari pinggir-pinggir kampung yang jauh.

-Buktinya, berdasarkan akhir hadis dimana Nabi SAW berkata “Walaubagaimanapun kita akan bersembahyang Jumaat(kerana kami orang tempatan)”. Yang dimaksudkan dengan ‘kita’ ialah penduduk Madinah.

-Maulana Rasyid Ahmad berkata bahawasanya Ibnu Zubair dan Ibnu Abbas pada ketika itu masih kecil lagi. Mereka dengar ucapan itu (iaitu “sesiapa diantara kamu yang mahu solat, maka ia dibolehkan. Sesiapa nak balik, bolehlah balik”.) tetapi tidak cukup faham apa yang dimaksudkan dengan ucapan itu. Ibnu Zubair telah mengakhirkan solat hari raya dan mengawalkan solat Jumaat daripada waktu zawal(gelincir matahari). Beliau telah memasukkan solat hari raya ke dalam solat Jumaat. Sebab itulah dia tidak solat Zohor seperti dapat dilihat daripadad zahir riwayat. Dan pandangannya dipersetujui oleh Ibnu Abbas kerana waktu itu Ibnu Abbas pun masih kecil(masa mendengar ucapan tadi).

-Jadi mengikut Imam Abu Hanifah, solat Jumaat wajib dikerjakan juga walaupun sudah mengerjakan solat hari raya sama dengan pendapat Imam Syafie.

-Tapi bagi Imam Ahmad berkata bahawasanya, kalau sudah dikerjakan solat hari raya, maka solat Jumaat tidak wajib lagi(nak solat pun boleh). Namun, solat Zohor tidak boleh ditinggalkan(ada satu pendapat mazhab Syafie yang sama dengan pendapat Imam Ahmad ini)

-Bagi mazhab ‘Atha, kedua-dua solat Zohor dan Jumaat sudah tidak wajib. Boleh saja nak solat tapi tak wajib.

-Bagi mazhab Malik ada 2 pendapat. Bagi pendapat pertama,melalui riwayat Mutarrif, sudah berpada hanya solat hari raya tanpa solat Jumaat. Pendapat kedua, melalui riwayat Ibn Qasim daripada Imam Malik bahawasanya tidak dapat tidak perlu solat Jumaat (untuk orang tempatan). Pendapat yang kedua inilah yang masyhur dalam Mazhab Malik dan sama pendapat dengan Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie.

Audio atau Video asal boleh didapati di: http://www.darulkautsar.net/article.php?ArticleID=3561

0 comments: